CEO Zakat Pulau Pinang Didakwa Satu Lagi Pertuduhan Rasuah

GEORGETOWN – Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengurus Besar Zakat Pulau Pinang (ZPP), Datuk Azman Abdul Samat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas satu lagi pertuduhan menerima suatu barangan berharga tanpa balasan, pada Februari lalu.

Azman, 50, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Mengikut pertuduhan, Azman didakwa menerima jam tangan jenama Cerutti bernilai RM1,280 daripada Zaiyusri Ibrahim, pemilik Syarikat Safa Murni Enterprise, yang mempunyai hubungan kerja rasmi dengannya di Pusat Latihan Zakat (PULAZA) dalam Daerah Barat Daya, pada Februari lalu.

Bagi pertuduhan itu, Azman didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Norsalha kemudian membenarkan Azman dijamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Ogos depan bagi sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri, manakala Azman diwakili peguam Mohamed Reza Rahim dan N Rajivan. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.