CEO, pegawai Zakat Pulau Pinang Didakwa Rasuah Baru-Baru Ini Mengaku Tidak Bersalah

EORGE TOWN – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Zakat Pulau Pinang (ZPP) yang sebelum ini didakwa atas tiga pertuduhan rasuah, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan sama.

Datuk Azman Abdul Samat, 50, yang juga Pengurus Besar ZPP mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima seutas jam tangan jenama Cerutti bernilai RM1,280 daripada pemilik Syarikat Safa Murni Enterprise yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau di Pusat Latihan Zakat (Pulaza), dekat sini pada Februari lepas.

Azman didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Ahmad Ghazali Muhammad Nadzri menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Mohamed Reza Rahim yang mewakili Azman kemudiannya memohon mahkamah 
mengurangkan jaminan RM2,000 iaitu jumlah jaminan yang sama diberikan oleh hakim Mahkamah Sesyen Butterworth.

Hakim Norsalha Hamzah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Ogos untuk sebutan semula kes.

Rabu lepas, Azman dan seorang pegawai kanan ZPP mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth atas beberapa pertuduhan rasuah antara 2010 dan 2015.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.