‘Bercinta’ Di Lokasi Hanya Lakonan – Nabila

KUALA LUMPUR : Pelakon, Nabila Huda mengaku lebih selesa mengekalkan hubungan profesional bersama hero yang digandingkan dalam projek drama mahupun filem.

Bagi Nabila, 32, tidak pernah timbul cinta lokasi sepanjang bergiat dalam bidang seni. Malah, akuinya, keserasian boleh dibangkitkan dengan mendalami skrip dan karakter yang diamanahkan.

“Sebelum berkahwin lagi, saya tidak pernah terjebak dalam cinta lokasi dengan mana-mana gandingan. Ini kerana saya menganggap bidang lakonan ini sebagai kerjaya dan tidak lebih daripada itu.

“Keserasian dapat dibangkitkan dengan menjiwai skrip yang diberi produksi. Jika tidak dapat keserasian, bererti penyelidikan yang dibuat terhadap watak belum mencukupi.

“Pada pendapat saya, hubungan yang dibina di luar lokasi membangkitkan isu lain. Kebanyakan pelakon sekarang harus belajar dari pelakon lama yang lebih berpengalaman,” katanya.

Nabila mengulas mengenai keserasiannya bersama gandingan, Ungku Ismail Aziz pada sidang media drama rantaian 100 episod, Dendam Aurora di Restoran Duddha di Suria KLCC, di sini.

Nabila berpendapat pelakon harus melakukan penyelidikan terhadap watak sebelum menjejakkan kaki di lokasi penggambaran.

Tambahnya, gelaran pelakon yang disandang bukanlah sekadar untuk mengecapi populariti.

“Saya mempunyai minat yang mendalam dalam bidang lakonan dan memandang serius kerjaya saya.

“Bukanlah hendak menuding jari kepada sesiapa, tetapi apa yang penting, kredibiliti sebagai pelakon harus dikekalkan bagi mendapatkan hasil memberangsangkan,” katanya.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.