Bekas Penyiasat TUDM Jawab Tuduhan “Jual Kem Tentera Untuk Selamatkan 1MDB”

Satu surat terbuka ditulis oleh bekas pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Brigadier Jeneral (B) Datuk Arshad Raji, tular di media sosial mendakwa hasrat kerajaan menjual empat lokasi kem tentera di Kuala Lumpur dan Johor Bahru demi menyelamatkan 1MDB.

Kata Arshad, empat lokasi berkenaan, Kem Transit, Ampang, Selangor; Kem Lapangan Terbang Sg Besi, Kuala Lumpur; serta Kem Majidee dan Kem Tebrau di Johor mempunyai nilai sentimental kepada angkatan tentera.

Membidas tuduhan melulu dan bermotifkan politik berkenaan, Bekas Pegawai Penyiasat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff, beliau kecewa dengan sikap Arshad memainkan emosi bekas anggota tentera dengan memanipulasikan isu 1MDB bagi tujuan politik.

“Biarlah sekiranya kita hendak memperjuangkan hak, perjuangkanlah dengan betul, dan bukannya berlandaskan yang batil.

“Kita ini semuanya veteran. Setiap hari kubur menghampiri kita.  Eloklah kita benar dalam percakapan dan perbuatan tanpa sebarang niat yang memesongkan,” ujarnya sambil menegaskan 1MDB tidak mengalami kerugian mahupun kesulitan kewangan.

Berikut merupakan soalan Arshad kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sambil mendakwa sekiranya soalan ini tidak dijawab dalam tempoh 14 hari, ianya dianggap Arshad sebagai tuduhan benar.

Ujar Abdul Rahmat, beliau bersetuju bahawa kem berkenaan mempunyai nilai sentimental, namun menggesa Arshad untuk berpandangan lebih jauh ekoran keempat-empat lokasi berkenaan sudah tidak sesuai dijadikan pangkalan tentera akibat kepesatan pembangunan kawasan sekelilingnya.

“Pelan penjualan Kem Batu Kantonmen ini sebenarnya dibuat pada tahun 2002 lagi, tujuh tahun sebelum 1MDB ditubuhkan.  Ketika itu, negara ditadbir oleh seorang Perdana Menteri yang lain.

“Kerajaan Negeri Perak ketika itu juga telah menyediakan satu tapak seluas 680 hektar (hampir 7 kali keluasan Kem Batu Kantonmen) untuk tujuan penempatan unit-unit TD (Tentera Darat) yang terkesan akibat pembelian kem tersebut,” ujarnya dipetik blognya, Seademon Says.

Kem Batu Kantonmen seluas 98 hektar dinilai pada 2011 berharga antara RM40 hingga RM80 sekaki persegi dengan nilai keseluruhan RM845 dan kini pasaran hartanahnya mencecah RM1.7 bilion.

Tambahnya, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang mempunyai pegangan terbesar ke atas syarikat pemaju kem berkenaan Bousted Holdings, akan memberi manfaat secara langsung kepada anggota tentera yang masih bertugas dan pesara.

“Nilai Pembangunan Kasar tanah tersebut sebanyak RM8 billion setelah ditawarkan kepada LTAT dengan harga RM2.3 billion bermakna keuntungan kasar yang bakal diperolehi adalah berjumlah RM3.2 billion, yang mana akan menjadi dividen masa hadapan LTAT itu sendiri,” ujarnya.

Jelas Abdul Rahmat lagi, peruntukan RM700 juta bagi tujuan pemindahan anggota dan fasiliti tentera ke lokasi baru juga adalah berpatutan dan Arshad sepatutnya berbangga anggota tentera boleh memperoleh kem lebih selesa dan moden.

“Yang saya tidak faham adalah kenapa seorang bekas pegawai kanan tinggi TD mempersoalkan imbuhan sebanyak RM1.6 billion yang akan diberikan kepada para veteran yang bersara tanpa pencen?

“Adakah para veteran tidak berpencen tidak layak menerima imbuhan seperti bayaran pencen bulanan yang diterima oleh mereka yang berpencen? Adakah veteran tidak berpencen berada dalam kasta yang lebih rendah dalam hirarki Veteran?” katanya lagi dalam artikel blognya bertajuk Defence: Teka Bila Kem Tentera Mula Hendak Dijual?“. – mD

One thought on “Bekas Penyiasat TUDM Jawab Tuduhan “Jual Kem Tentera Untuk Selamatkan 1MDB”

  • July 23, 2017 at 8:22 am
    Permalink

    Benarkah beliau ini Penyiasat TUDM, apa yg beliau siasat? Mohon pencerahan tentang penulis ini amat meragukan.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.