Awie Rindukan Anak

Vokalis Wings, Datuk Awie mengakui kehadiran 1 Syawal sedikit meninggalkan rasa sebal dalam dirinya.

Menurut Awie, dia masih tidak dapat membendung rasa sedih saat tibanya Hari Raya Aidilfitri.

Pemilik nama, Ahmad Azhar Othman, 48, masih tidak berpeluang untuk meraikan kedatangan Lebaran bersama dua cahaya mata kesayangannya, Putra Ahmad Rezzki, 9, dan Puteri Qasseh Antasha, 7, sejak bekas isteri, Rozana Misbun diberi hak penjagaan sementara bagi kedua anaknya pada 27 Januari 2015.

Ketika bertemu dengan beliau pada majlis rumah terbuka yang diadakan di kediamannya di ibu kota baru-baru ini, Awie mengakui berasa kecewa dan sedih apabila melihat kerenggangan yang berlaku antara beliau dan anak-anaknya, seperti memetik Kosmo.

“Tahun ini, saya bersama Ladyana dan anak ketiga, Putra Ahmad Merrah, 10, meraikan hari raya di Thailand. Kami bercuti di sana sekitar empat hari bermula 1 Syawal sebelum pulang ke Malaysia dan beraya ke rumah sanak saudara yang berada di Perlis, Kedah dan Ipoh, Perak.

“Tidak sama sekali. Sepanjang beraya di Songkhla, Yala dan Hat Yai, mereka langsung tidak menghidangkan juadah hari raya seperti ketupat, lemang atau rendang. Kuih raya juga tidak dihidangkan. Tetamu sekadar dijamu dengan nasi dan lauk-pauk sahaja,”katanya.

Tambahnya, sejak Rozana mendapat hak penjagaan sementara terhadap anak-anak, dia jarang menghabiskan masa bersama mereka.

“saya berasa sangat sedih dan kecewa. Hampir tiga tahun saya tidak dapat bertemu dengan mereka, termasuklah menyambut hari raya bersama. Ada sahaja alasan yang diberikan oleh Rozana apabila saya cuba untuk menghubungi Rezzki dan Qasseh. Saya risau jika berterusan begini, hubungan saya dan anak-anak akan renggang.

Mengulas berhubung kerenggangan tersebut akan berterusan, Awie sendiri tidak tahu.

“Boleh jadi setahun, mungkin tiga tahun atau mungkin sehingga kes perceraian kami selesai. Sejujurnya, saya menerima segala yang ditentukan dengan hati terbuka. Setiap apa yang berlaku telah tertulis dan saya sebagai hamba, menerima dengan reda,”katanya.

Berkongsikan perkembangan terkininya, Awie berkata, dia bercadang untuk mengadakan Serban Ride di Kelantan.

“Acara permotoran tersebut akan melibatkan peserta yang mengenakan serban sambil menunggang motosikal berkuasa besar. Bagaimanapun, saya masih lagi berbincang dengan pihak berkuasa sebelum merealisasikan aktiviti ini.

“Selain itu, saya akan kembali berlakon dalam sebuah telefilem arahan Mamat Khalid dan merancang untuk mengadakan persembahan istimewa mirip Konsert Wings And Superfriends – Belenggu Irama yang diadakan awal tahun ini,”katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.