3 Pegawai JPJ Disiasat Pecah Masuk Pejabat Bos

Tiga pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) disiasat selepas dipercayai terbabit dalam kejadian pecah masuk pejabat Ketua Pengarah JPJ, 13 Julai lalu.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, seorang daripada pegawai penguat kuasa unit Pasukan Tindakan Khas (PTK) JPJ bersama rakannya yang masih bebas dipercayai memecah masuk pejabat Ketua Pengarah di Ibu Pejabat JPJ di Presint 4, Putrajaya.

Dua lagi pegawai PTK JPJ didapati berada dalam kenderaan ketika kejadian berlaku.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa, berkata laporan polis dibuat pada hari kejadian sebelum ketiga-tiga pegawai terbabit ditahan untuk siasatan lanjut.

“Dua daripada mereka sudah dibebaskan dengan jaminan polis manakala seorang lagi direman hingga hari ini.

“Polis masih memburu seorang lelaki dipercayai bukan kakitangan JPJ yang turut dikesan memecah masuk pejabat sama bersama seorang pegawai penguat kuasa,” katanya seperti dilapor Berita Harian, hari ini.

Beliau berkata, kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya. Rusdi berkata, motif kejadian belum dapat didedahkan bagi mengelak mengganggu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan memecah masuk premis.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Nadzri Siron, mengesahkan kejadian dan masih menunggu laporan siasatan polis sebelum mengambil tindakan selanjutnya terhadap tiga pegawai terbabit.

 

“Kita turut melakukan siasatan dalaman berhubung tujuan mereka menceroboh pejabat saya. JPJ turut menggantung aktiviti dan program unit PTK JPJ berikutan ketiga-tiga pegawai yang ditahan adalah dari unit berkenaan,” katanya.

Nadzri turut menafikan penggantungan PTK berkenaan mempunyai kaitan dengan kes saman terhadap Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Datuk Yusoff Ayob, yang didapati bersalah menggunakan laluan kecemasan.

“Beliau melakukan kesalahan itu tahun lalu dan tiada kaitan dengan penggantungan unit PTK JPJ,” katanya.-Malaysiakini

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.