Video : Kerajaan Pandang Serius Saman Sivil DoJ – Najib

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan memandang serius terhadap saman sivil yang dikemukakan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat yang mengaitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 

Beliau berkata demikian selepas ditemui di Majlis Mesra Aidilfitri Kumpulan Felda di menara Felda di sini, sebentar tadi.

“Saya memandang berat kenyataan Department of justice. Perlu dijelaskan bahawa ini merupakan tindakan sivil dan bukan tindakan jenayah dan ia terhad kepada nama-nama yang telahpun disebutkan dalam laporan DOJ.

 

“Kerajaan akan beri kerjasama yang sepenuhnya dengan semua pihak badan siasatan antarabangsa,” katanya

 

Tambahnya, pendirian kerajaan tidak mahu melihat sebarang perbuatan yang melanggar undang-undang.

 

Najib berkata mereka yang terlibat akan melalui proses kehakiman di mahkamah Amerika Syarikat dimana seseorang mempunyai peluang membela diri mengikut proses kehakiman di mahkamah.

 

“Kita tidak sewajarnya buat apa-apa kesimpulan selagi proses belum selesai,” katanya.

 

Mengulas mengenai anak tirinya Riza Aziz yang dikaitkan dengan tindakan undang-undang itu, beliau berkata Riza juga perlu menjalani proses yang sama seperti orang lain.

 

“Beliau mempunyai haknya dan biar proses itu berjalan,”katanya.

 

Ketika ditanya sama ada saman sivil itu akan menjejaskan hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat, katanya ia adalah isu yang berbeza sama sekali, kerana ini berkaitan dengan individu dan bukannya kedudukan keseluruhan dasar kedua-dua negara.

 

Terdahulu, didakwa rampasan aset bernilai lebih AS$1 bilion (RM4.05 bilion) oleh DoJ itu rampasan terbesar dan melibatkan harta benda dan aset-aset lain yang dibeli dengan wang yang didakwa dilesapkan daripada 1MDB.-SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.