Tun M Minta Sokongan DAP Perkukuh Parti Baharu – Penganalisis

KUALA LUMPUR – Penganalisis politik, Prof Dr Nasrudin Mohamed berpandangan Tun Dr Mahathir Mohamad akan menggunakan DAP dalam mendapatkan sokongan parti baru yang akan ditubuhkan kelak.

 

Ia berikutan sikap tarik-tali Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam menyatakan sokongan terhadap cadangan bekas perdana menteri itu.

 

Wan Azizah sebelum ini tidak menyatakan secara jelas apakah pendirian PKR terhadap parti baru Mahathir itu, namun terbuka dengan apa sahaja kerjasama untuk menumbangkan pihak lawan, Umno-Barisan Nasional (BN).

 

“Apabila kita merujuk kenyataan Wan Azizah, kita kena lihat juga bahawa kata-kata parti seharusnya dilihat seiring dengan parti lain. Pada masa parti tersebut tidak memberikan gambaran jelas mengenai sokongan terhadap Mahathir, kita kena lihat bagaimana DAP bertindak dan beri kenyaan.

 

“Dalam keadaan sekarang, DAP antara kuasa yang akan digunakan Mahathir untuk memperkuatkan parti yang akan ditubuhkan nanti,” demikian menurut Nasrudin ketika ditemubual AP baru-baru ini.

 

Mahahthir pada minggu lalu mengumumkan akan menubuhkan satu parti politik baru yang akan menjadi sebahagian komponen dalam gagasan pembangkang dalam usaha melawan Umno-BN.

 

Ia juga disifatkan Mahathir sebagai satu usaha memperkukuhkan kedudukan pembangkang dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak.

 

Beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) juga hadir di pengumumam Mahathir dan menyambut baik cadangan pemimpin itu, lebih-lebih lagi dalam keadaan pembangkang kini berdepan dengan pelbagai masalah.

 

Sebagaimana PKR, DAP juga sehingga kini tidak mengkhususkan sokongan mereka terhadap cadangan Mahathir itu.

 

Sebaliknya buat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat agak terbuka dengan idea penubuhan parti baru dan gabungan pembangkang itu.

 

Nasrudin, ketika mengulas hal itu menyatakan sokongan Anwar itu berkemungkinan demi manfaat politik yang akan diterimanya kelak, sekiranya gabungan itu berjaya menunjukkan hasil.

 

“Bagaimana Anwar melihat perkara ini dan bagaimana kemunculan parti baru Mahathir ini boleh digunakan Anwar dalam mencorakkan permainan atau muslihat politik semasa,” ujar Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Negeri Sembilan itu.

 

Anwar ketika mengulas perkembangan semasa membabitkan idea Mahathir itu berkata apa sahaja kerjasama yang akan dilakukan kelak perlu melihat kepada faedah yang akan diperolehi rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.