Bekas MB Tolak Jawatan Timbalan Exco

KUALA TERENGGANU: Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said enggan menerima jawatan Timbalan Exco yang diberikan Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman.

 

Dalam rombakan portfolio Exco kerajaan negeri semalam, Ahmad yang juga ADUN Kijal dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

 

Ahmad berkata, walaupun belum menerima surat pelantikan secara rasmi dan hanya mengetahui namanya tersenarai sebagai timbalan Exco, beliau tidak bersetuju dengan pelantikan itu.

 

“Antara punca menyebabkan saya menolak tawaran ini kerana Ahmad (Razif) tidak mengiktiraf saya sebagai wakil rakyat apabila bertindak memotong peruntukan pembangunan di DUN Kijal, selain melantik orang lain sebagai Pengerusi Pembangunan DUN.

 

“Sebagai seorang bekas menteri besar, saya anggap Ahmad (Razif) mempersendakan saya apabila melantik sebagai timbalan Exco,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

 

Ketika diminta mengulas kenyataan ADUN Seberang Takir yang mengatakan Ahmad sebelum ini dilantik sebagai timbalan Exco tetapi tidak didedahkan, Ahmad berkata, beliau tidak pernah dihubungi mengenai pelantikan itu.

 

“Ahmad Razif juga pernah mengumumkan melantik saya sebagai Pengerusi Pembangunan Tasik Kenyir, tetapi tiada surat pelantikan secara rasmi dihantar dan saya juga menolak pelantikan itu,” katanya.

 

Sementara itu dalam sidang media yang sama, Ahmad mengumumkan menyertai Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) dan dilantik Yang Dipertua PERKASA Terengganu.

 

Ahmad sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi apabila secara tiba-tiba mengusulkan undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif ketika membahaskan titah ucapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

 

Namun usul berkenaan gagal selepas ditolak Speaker DUN Terengganu, Datuk Mohd Zubir Embong kerana tidak memenuhi syarat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.