Yaya Gembira Sambut Aidilfitri Bersama Sanak Saudara

KOTA BHARU- Nasib adik Nur Zaara Juliana, 5, atau lebih dikenali dengan panggilan Yaya yang sebelum ini terseksa akibat menjadi mangsa dera dipercayai oleh ibu tiri dan bapa kandungnya semakin baik apabila beliau diraikan pada majlis Aidilfitri di rumah ibu saudaranya di Jalan Hospital, di sini, semalam.

 

Yaya yang ditemui tengah hari semalam ternyata gembira dengan layanan istimewa yang diberikan oleh sanak saudaranya iaitu sesuatu yang berbeza bagi dirinya sekiranya nasibnya tidak diketahui ramai.

 

Dia yang ditemui ternyata semakin mesra dengan “orang luar” tetapi tidak boleh terlalu lama berada di tengah-tengah orang ramai kerana masih berasa tidak selesa.

 

Bagaimanapun, hasrat untuk menemui ibunya, Sanaa Ab Malek tidak berhasil kerana berada di hospital membawa anak bongsunya yang menghidap lelah.

 

Terdahulu, keluarga terbabit menerima kunjungan Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Datuk Sheikh Ahmad Dasuki Sheikh Mohamad.

 

Sheikh Ahmad berkata, sebagai anak angkat POKB, pihaknya mengambil berat terhadap perkembangan kesihatan kanak-kanak mangsa dera itu.

 

“Kita kini dalam usaha untuk membantu perkembangan Yaya, supaya dapat pulih dari kesan trauma.

 

“Insya-Allah selepas raya nanti, kita sudah merancang untuk menubuhkan Tabung Pendidikan Yaya, bagi memastikan kelangsungan pendidikannya dan dia dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik.

 

Beliau berkata, di samping itu pihaknya juga melantik peguam bagi memastikan pelaku yang mendera Yaya sehingga mendapat kecederaan yang teruk dapat di bawa ke muka pengadilan dan tidak berlaku sebarang ketirisan dalam kes ini dan mendapat pembelaan sewajarnya.- Therakyatpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.