Nabil Tidak Melatah, Minta Maaf ‘Tak Tegur’ Azwan Ali Di Tanah Suci

KUALA LUMPUR – Pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad, tidak melatah ditempelak Azwan Ali dan memilih untuk memohon maaf secara terbuka kepada Azwan Ali di laman sosial Twitter.

 

Azwan menempelak Nabil kerana dikatakan tidak menegurnya dan bersikap sombong ketika mengerjakan ibadat umrah, baru-baru ini.

 

“Saya sebenarnya tidak nampak kelibat dia pun di Jeddah sampai ke KLIA. Jadi, bagaimana saya hendak menegur beliau kerana saya tak nampak pun dia (Azwan)?

 

“Tak pernah lagi saya tak menegur orang kalau sudah nampak depan mata. Saya malas nak melayan isu ini dan kalau boleh hendak menjauhkan diri daripada perkara negatif.

 

“Lagipun saya baru pulang dari rumah Allah, malaslah hendak bergaduh. Oleh itu, saya memilih untuk memohon maaf di Twitter.

 

Saya rasa tindakan itu paling tepat untuk dilakukan oleh saudara Islam kepada saudara Islam,” kata Nabil kepada BH Online.

 

Azwan memuatkan kata-kata menempelak itu di laman twitternya.

 

Sementara itu, Nabil turut meluahkan rasa gembiranya kerana berjaya menjejakkan kaki ke Tanah Suci selama tempoh 10 hari.

 

Baginya, pengalaman 10 hari di Tanah Suci itu sangat berharga dan sukar untuk diungkap dengan kata-kata.

 

“Alhamdulillah, saya berjaya menunaikan umrah untuk tempoh 10 hari. Pengalaman berada di sana begitu menakjubkan dan saya bersyukur kerana dipanggil menjadi tetamu ke rumah Allah.

 

“Keadaan agak sibuk di sana kerana orang berkejar untuk malam Lailatul Qadar. Kenangan beribadat untuk 10 malam terakhir itu memang tak dapat saya lupakan.

 

“Pada mulanya saya risau juga hendak meninggalkan isteri dengan dua orang anak saya. Kami pun tak pernah berenggang namun semuanya berjalan dengan lancar,” katanya. – Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.