Mat Rempit Di Terengganu Bakal Dihukum Di Sekolah Pondok

Kuala Lumpur – Kerajaan Terengganu sedang mengkaji untuk menghantar mat rempit ke sekolah pondok sekiranya golongan tersebut terus bermaharajalela di negeri itu.

 

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, mat rempit akan ditempatkan di sekolah-sekolah pondok sekitar negeri Terengganu selama tiga bulan untuk mengikuti kelas fardu ain sebagai satu ‘hukuman’.

 

“Mat rempit dikehendaki memakai jubah serta berkopiah sepanjang berada di sekolah pondok nanti. Kita serah pada polis untuk penguatkuasaan dan diambil tindakan,” katanya pada Isnin di majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Untuk Perantauan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan.

 

Jelas Ahmad Razif lagi, tindakan tegas ke atas mat rempit akan dilakukan memandangkan pelbagai usaha dan rundingan antara pihak kerajaan dengan wakil kumpulan terbabit termasuk perancangan kerajaan membina litar khusus untuk mereka masih belum berhasil.

 

“Kita akan pastikan insiden pada raya pertama (operasi menangkap lebih 100 mat rempit tidak berulang.

 

“Minggu depan saya panggil bos-bos mereka untuk beri kata dua. Kita nak mereka beri jaminan kepada kita dan pastikan insiden yang berlaku pada hari raya pertama tidak berulang,” katanya.

 

Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan membatalkan pembinaan litar khas untuk mat rempit jika usaha memulihkan mereka gagal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.