Lirik Negaraku Dipersenda, Rani Kulup Buat Laporan Polis

Kota Bharu – Selebriti media sosial, Abdul Rani Kulup Abdullah, 60, buat pertama kalinya datang ke Kelantan untuk membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, hari ini.

 

Beliau yang terkenal dengan slogan `Kipidap’, ‘Don gibab’ itu membuat laporan polis kira-kira jam 10.30 pagi tadi berhubung satu kiriman dalam laman Facebook milik Winson Ong yang mempersendakan lagu NegaraKu dengan menukar liriknya kepada `NegaraKu Kita Semua Kena Tipu’.

 

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) terbabit yang ditemani oleh beberapa ahli MJMM berharap pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuat siasatan ke atas individu terbabit.

 

“Perbuatan seperti itu adalah melampau. Individu bertanggungjawab perlu disiasat dan perlu dicari sehingga ke lubang cacing.

 

“Perbuatan seperti itu memang tidak boleh diterima apatah lagi liriknya yang diubahsuai termasuklah menghina Perdana Menteri Malaysia,” katanya ketika ditemui di luar IPD Kota Bharu, hari ini.

 

Dalam perkembangan sama, kedatangan Abdul Rani yang juga Pengerusi Gerak Kerja Gabungan Ayahanda Selangor (GEGAS) dilihat ternyata mendapat perhatian ramai.

 

Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengannya sehingga ada pemandu kenderaan sanggup memberhentikan kenderaan semata-mata mahu merakamkan gambar bersama secara `selfie’.

 

Ada juga yang membunyikan hon kenderaan sebaik ternampak kelibat Abdul Rani yang berjalan kaki di tepi jalan berhadapan dengan IPD Kota Bharu sebagai tanda sokongan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.