Laporan WSJ, Peguam Tunggu Arahan PM

Kuala Lumpur – Datuk Seri Najib Razak dikatakana bakal mengeluarkan surat tuntutan mahkamah terhadap portal The Wall Street Journal (WSJ) selepas media tersebut enggan memberikan penjelasan mengenai laporan kewangan mengaitkan perdana menteri dengan dana 1MDB.

 

Memetik kenyataan peguam Wan Azmir Wan Majid yang dilaporkan oleh Berita Harian sebelum ini, Perdana Menteri memberi tempoh 14 hari kepada WSJ yang berakhir semalam namun sehingga kini tiada sebarang reaksi diterima daripada media berkenaan.

 

“Jika kami tidak menerima sebarang jawapan hari ini, maka perdana menteri mempunyai beberapa pilihan undang-undang.

 

“Antaranya mengemukakan saman atau mengeluarkan surat tuntutan kepada WSJ,” katanya.

 

Wan Azmir dari firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak berkata, keengganan WSJ memberi maklum balas ataui penjelasan boleh dianggap sebagai pengakuan bersalah.

 

Beliau juga berkata, masih terlalu awal untuk mengetahui apa tindakan selanjutnya yang akan diambil Najib dan firma guaman itu masih menunggu arahan daripada perdana menteri.

 

Pada 8 Julai lalu Hafarizam Wan & Aisha Mubarak menghantar surat tuntutan kepada penerbit WSJ, Dow Jones, berhubung dua laporan mengenai “skandal di Malaysia”.

 

Laporan itu masing-masing disiarkan pada 2 Julai dan 6 Julai, dan ditulis bersama oleh Simon Clark serta Tom Wright.

 

Antara lain laporan itu mendakwa hampir AS$700 juta wang 1MDB disalurkan ke akaun persendirian Najib.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.