Keretapi Laju KL-Singapura, Jangan Buat Spekulasi

Kuala Lumpur – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai meminta semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung projek keretapi berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura.

 

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong telah mencapai kata sepakat berkenaan projek berkenaan.

 

Jelas beliau, projek tersebut juga akan diputuskan kerjasamanya melalui satu memorandum persefahaman dijangka pada akhir tahun ini

 

“Semua perundingan sedang berjalan sekarang dan tunggulah kerjasama yang akan dimeterai pada akhir tahun ini.

 

“Apa-apa pandangan yang dikeluarkan pada ketika ini hanyalah spekulasi sahaja dan bukan pendirian kerajaan

 

“Pendirian kerajaan sangat jelas dalam isu ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

 

Pada Jun lalu, Suruhanjaya Pengangkutan Darat Malaysia (SPAD) mencadangkan untuk menamatkan terminal kereta api berkelajuan tinggi di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Johor Bahru.

 

Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Nur Ismal Mohd Kamal berkata pihaknya lebih berminat untuk mengakhiri laluan tersebut di kompleks CIQ sedia ada. Bagaimanapun, Singapura mahukan ia berakhir di Jurong East.

 

“Seperti mana kami ingin membangunkan bandar Malaysia, mereka mahu menggunakan projek ini untuk memacu pembangunan di Jurong East.

 

“Daripada perspektif kami, dengan mengakhiri laluan tersebut di CIQ, keseluruhan projek ini akan berada dalam sempadan negara kita dan kita akan mempunyai kawalan penuh ke atasnya. Ia lebih dekat dengan Orchard Road berbanding Jurong East.

 

“Namun tentunya, kita harus mengambil kira pertimbangan ekonomi dan komersial Singapura untuk mencapai satu persetujuan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.