Kerana Cinta, Dua Kumpulan Lelaki Bergaduh Di Wangsa Walk

Wangsa Maju – Lima cedera, dua daripadanya parah, dan 11 ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan di Pusat Membeli Belah Wangsa Walk, di ibu negara semalam.

 

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata kesemua yang ditahan adalah remaja lelaki Melayu berusia 15 tahun hingga 29 tahun.

 

Katanya, dalam pergaduhan pada pukul 6.50 petang itu antara dua kumpulan, seorang patah tengkok dan seorang lagi retak tulang bahu.

 

“Ia hanyalah pergaduhan antara dua kumpulan remaja yang berpunca dari tindakan seorang abang yang menghalang perhubungan adiknya dengan seorang lelaki,” katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur.

 

Beliau berkata lima yang cedera itu dipercayai akibat dipukul dengan kayu, batang besi, topi keledar dan sepit udang motosikal.

 

“Mereka yang cedera telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan,” katanya.

 

Beliau berkata kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

 

Dalam pada itu, polis menafikan pergaduhan itu melibatkan isu perkauman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.