Presiden Ukraine Arah Tentera Hentikan Aktiviti Dalam Lingkungan 40KM Dari Tapak Nahas MH17

Kerajaan Ukraine mengarahkan tenteranya menghentikan sebarang aktiviti ketenteraan dalam lingkungan 40km dari kawasan MH17 terhempas, kata Presiden Ukraine Petro Poroshenko (gambar).

Arahan itu, katanya, berkuat kuasa serta-merta dalam usaha untuk meredakan ketegangan antara tenteranya dan kumpulan pemberontak pro-Rusia.

Ia sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mempercepatkan usaha pasukan penyiasatan bersama antarabangsa mendapat laluan yang selamat ke tempat kejadian, katanya.

Sambil melahirkan rasa kesal atas kelewatan untuk memindahkan mayat ke dalam pesawat, yang menghalang penyiasatan, beliau berkata kerajaan Ukraine melakukan sedaya upaya termasuk mengundang Moscow untuk menyertai pasukan penyiasat antarabangsa.

“Saya menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan terhadap kumpulan pengganas kerana menghalang usaha mencari mayat penumpang MH17 dan gagal menjamin keselamatan pasukan penyiasatan antarabangsa disebabkan keadaan,” kata beliau dalam bahasa Ukraine pada sidang media semasa melawat Kedutaan Malaysia di Kiev, Isnin.

Teks ucapannya diterjemahkan seorang pegawai Kedutaan Malaysia.

Pesawat MH17 sedang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Donetsk, di bahagian timur Ukraine dekat sempadan Rusia pada Khamis.

Pesawat Boeing 777-200 itu membawa 283 penumpang dan 15 kru.

Laporan media asing menyebut bahawa pesawat itu ditembak jatuh tetapi sehingga sekarang tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap insiden.

Terdahulu, Poroshenko merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa pesawat MH17 yang terhempas di bahagian timur Ukraine pada Khamis, semasa mengunjungi Kedutaan Malaysia di Kiev hari ini.

Poroshenko meletakkan sejambak bunga mawar putih di hadapan tembok kedutaan bersama Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan duta-duta asing yang lain.

Sejak tragedi itu, masyarakat Ukraine meletakkan deretan bunga seperti tulip, mawar dan orkid serta mainan mewah seperti teddy bear, patung harimau dan lilin di tembok kedutaan.

Mereka juga meninggalkan kad yang tertera mesej “hentikan keganasan, kami berkabung, anda adalah bidadari”, “mangsa keganasan Rusia” dan “berdoa dan berkabung bersama anda”.

Poroshenko bertafakur sebentar sebelum memasuki pejabat kedutaan untuk menandatangani buku takziah.

Susulan tragedi itu, Malaysia menghantar pasukan khas 133 pegawai dan pakar terdiri daripada anggota mencari dan mengumpul bukti, pakar forensik serta pakar teknikal dan perubatan yang tiba di Kiev pada Sabtu.

Memasuki hari keempat sejak tragedi, pasukan Malaysia termasuk pasukan penyiasatan antarabangsa yang lain belum memperoleh jaminan bagi laluan selamat untuk ke tempat kejadian kerana kawasan itu dikuasai kumpulan pemberontak yang pro-Rusia.

Malah kerajaan Rusia melakukan yang terbaik untuk menjamin keselamatan pasukan penyiasatan bersama antarabangsa.

Disebabkan perlu menyegerakan usaha mengutip mayat mangsa MH17 dan penyiasatan terhadap punca tragedi, Liow dan Anifah terus datang ke Kiev masing-masing pada pada Ahad dan Isnin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.