Pemisah ProRusia Simpan Kotak Hitam MH17

Donetsk – Pekerja penyelamat menemui pita rakaman dari tempat nahas MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine tetapi diambil dan disimpan kumpulan pemisah proRusia.

Sebuah video yang dikatakan dirakam pada Jumaat dikeluarkan oleh perkhidmatan keselamatan Ukraine semalam, menunjukkan pekerja di kawasan nahas seluas 25 km/persegi menemui apa yang dipercayai “kotak hitam” dari bangkai pesawat Malaysia MH17.

Rakaman itu dibuat di ladang gandum di Kampung Hrabove. Seorang pencari dari Kementerian Kecemasan Ukrain menemui kotak rakaman data-penerbangan berwarna jingga dan menyerahkannya kepada rakan sekerja.

Ketua pemisah, Aleksander Borodai pada Ahad berkata anak buahnya menyimpan alat itu di Donetsk sehingga pakar mengesahkan ia adalah perakam penerbangan pesawat berkenaan.

“Kami menyimpan kotak itu sehingga ia disahkan oleh Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), barulah kami akan menyerahkan perakam berkenaan,” kata Aleksander, lapor Al-Jazeera.

Timbalan Perdana Menteri Ukraine Volodymyr Groysman berkata kerajaan tidak terperanjat sekiranya pihak penentang menyimpan kotak rakaman berkenaan.

“Kami sudah menjangkakan mereka menyimpan (kotak hitam). Sejak beberapa hari lepas sukar untuk kami memastikan apa yang berlaku kepada kotak-kotak hitam ini,” kata Volodymyr.

Kumpulan pemisah proRusia juga berkata mereka menyimpan lebih 200 mayat yang ditemui di kawasan nahas dalam kereta api.

Pada Ahad, agensi berita berkata tiada mayat dibiarkan di kawasan nahas, sehari selepas agensi berita Associated Press melaporkan askar pemisah membawa pergi mayat dalam beg hitam menggunakan trak.

Tiada askar pemisah yang dilihat lagi di kawasan nahas.

Wartawan Al Jazeera, Nazanine Moshiri yang melaporkan dari kawasan nahas berkata, pemerhati dari badan keselamatan Eropah, OSCE berada dekat stesen kereta api di mana mayat-mayat disimpan di dalam gerabak beku, tetapi mereka tidak dibenarkan masuk ke dalam gerabak untuk melakukan pemeriksaan.

“Kami menunggu untuk mengetahui ke mana destinasi kereta api itu. Kami difahamkan ia akan ke kawasan yang dikawal kerajaan Ukraine,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.