Mari Kita Jihad, Hapuskan Najib Laknatullah : NGO Buat Laporan Polis

Kuala Lumpur – Lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis upaya menyiasat seorang individu yang membuat ugutan jenayah terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (gambar) dalam laman sosial Facebook.

NGO itu ialah Persatuan Veteran Tenteran Melayu Satu Malaysia (PVTM), Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (Irimm), Wanita Jaringan Rakyat (Wajar) dan Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas).

Mereka diwakili Presiden PVTM Datuk Mohd Ali Baharom yang membuat laporan itu dengan diiringi 15 anggotanya di Balai Polis Sungai Besi, Kuala Lumpur pada 12.30 tengah hari tadi.

“Tindakan individu yang dikenali sebagai ‘Ahli Fikir’ dalam laman Facebook itu sudah melampau… kepada individu berkenaan, jangan cuba mempolitikkan segala isu yang ada di negara ini dengan menyalahkan pemimpin dan parti pemerintah,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.

Antara status dalam akaun facebook individu itu ialah: “Mari kita berjihad, hapuskan Najib laknatullah daripada kezaliman Israel dan pencerobohan di Sabah”.

Dalam laporan polis kedua NGO berkenaan, Presiden MJMM Abdul Rani Kulup Abdullah menggesa polis dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mengambil tindakan tegas terhadap tindakan seorang wanita bukan Islam memakai baju bercetak ayat al-Quran.

“Perkara ini jika dibiarkan dan dilakukan berulang kali boleh mencemarkan kesucian agama Islam dan membangkitkan sensitiviti umat Islam di negara ini,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam entri Twitternya hari ini berkata tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang ada terhadap wanita terbabit.

Khalid berkata wanita warga Korea itu baru tiba di Malaysia dan dipercayai membeli baju berkenaan ketika melancong di India.

Sejak semalam, laman sosial Facebook menyiarkan gambar dan catatan mengenai wanita itu sedang dimarahi seorang lelaki berketurunan Arab di sebuah pasar raya di Taman Dagang, Ampang dekat sini kerana memakai pakaian yang tertera ayat al-Quran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.