Khalid Samad Hanya Mahu Mengadap, Bukan Mohon Maaf

Shah Alam – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menolak permohonan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad untuk diperkenan menghadap baginda berhubung isu berkaitan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Ia ekoran surat yang dihantar oleh Khalid bukanlah surat memohon ampun.

Khalid memohon perkenan untuk menghadap Sultan Selangor selepas baginda murka terhadap tindakan MP Shah Alam itu menggesa supaya kuasa eksekutif MAIS dihapuskan.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Banir mengumumkan keputusan itu hari ini, dengan memetik kandungan surat yang dihantar oleh Khalid kepada pihak Istana Jumaat lalu.

Beliau berkata, jika surat itu dalam bentuk memohon maaf, ada kemungkinan baginda akan mempertimbangkannya, tetapi baginda menolaknya kerana Khalid semata-mata mahu memberikan penjelasan.

Menurut Munir lagi, baginda enggan menerima surat permohonan itu kerana “dunia sudah maklum dengan maksud kenyataan Khalid”.

“Tidak ada sebab untuk beri penjelasan kepada Tuanku. Adalah lebih baik dia menjelaskan kepada rakyat, yang dia mencanangkan ke seluruh dunia supaya kuasa eksekutif MAIS dihapuskan,” tambahnya.

Sementara itu, Khalid memberitahu bahawa beliau tidak mahu mengulas mengenai keputusan sultan sekarang.

“Saya menganggap akan ada jawapan rasmi, kerana saya telah menulis secara rasmi, dan saya akan memberi respons selepas saya mendapat jawapan, jika perlu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.