270 Terbunuh Dalam Serang Balas IS

BEIRUT 19 Julai – Sebanyak 270 orang terbunuh di Homs, Syria, apabila anggota militan Kumpulan Negara Islam (IS) menawan lapangan minyak Shaar kelmarin, dalam satu pembunuhan beramai-ramai disifatkan terburuk sejak penubuhan ‘negara Khalifah’ itu.

Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria memaklumkan, mereka yang terbunuh terdiri daripada anggota tentera Syria, pengawal keselamatan awam dan kakitangan lapangan minyak tersebut.

Menurut badan berkenaan, mangsa maut akibat pertempuran dan dihukum bunuh sejak kelmarin.

“Sebahagian besar mangsa ditembak mati selepas ditahan oleh anggota IS berikutan penawanan lapangan minyak tersebut.

“Antara yang terbunuh adalah 11 orang kakitangan awam, manakala selebihnya ialah pengawal keselamatan dan anggota tentera,” kata Pengarah badan berkenaan, Rami Abdel Rahman.

Tambah beliau, serangan balas tentera Syria di lapangan itu semalam turut menyebabkan 40 anggota IS maut, manakala nasib 100 kakitangan yang bekerja di kawasan tersebut ketika serangan berlaku masih belum diketahui.

Dalam pada itu, PBB menghantar bantuan kemanusiaan kepada beribu-ribu penduduk di bandar Moadamiyet al-Sham yang ditawan penentang kerajaan buat pertama kali sejak awal 2012.

Jurucakap Program Makanan Sedunia (WFP), Elisabeth Byrs berkata, pekerja bantuan berjaya membawa masuk bekalan makanan dan kebersihan ke bandar tersebut yang terletak kira-kira 10 kilometer barat daya Damsyik, Isnin lalu.

“Sehingga kelmarin, sejumlah 2,900 keluarga menerima catuan makanan yang dihantar bagi membantu 14,5000 orang,” katanya yang menambah, misi itu akan dilanjutkan selama tiga hari.

Namun, menurut aktivis, Nur Bitar, bekalan makanan yang dibawa PBB mungkin tidak cukup untuk semua penduduk bandar itu.

“Bekalan makanan adalah sangat terhad dan tidak akan cukup untuk penduduk Moadamiyet al-Sham,” katanya. – AFP

http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140720/lu_05/270-terbunuh-dalam-serang-balas-IS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.