KUALA LUMPUR,– Pentadbir halaman rasmi Facebook Datuk Seri Najib Razak melancarkan kritikan pedas terhadap Menteri Ekonomi Rafizi Ramli susulan kenyataan beliau yang tidak berpuas hati terhadap keputusan mahkamah melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) bekas Perdana Menteri itu dalam kes pengubahan wang haram melibatkan RM27 juta dana SRC International.
Dalam hantaran terbaharu bertajuk “ KAMI LAGI TAK FAHAM DENGAN PENDAKWA RAYA, pentadbir akaun tersebut mendakwa wujud layanan dua darjat dan ‘penyelamatan politik’ melibatkan beberapa kes berprofil tinggi yang pernah membabitkan Rafizi sendiri ketika pentadbiran Pakatan Harapan 1.0 dahulu.
Antara kes yang dibangkitkan termasuk:
- Kes fitnah jenayah Tabung Haji – Mahkamah sebelum ini memutuskan wujud prima facie terhadap tertuduh dan mengarahkan Rafizi membela diri. Namun, pada hari pertama prosiding, pihak pendakwaan memaklumkan telah diarahkan oleh Peguam Negara ketika itu untuk menarik balik kes, lalu pertuduhan digugurkan.
- Kes OSA Rafizi – Beliau disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen kerana melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA), dan keputusan itu diperkuat Mahkamah Tinggi. Bagaimanapun, semasa rayuan, Rafizi hanya memohon hukuman diringankan kepada bon berkelakuan baik – dan permohonan itu tidak dibantah oleh pihak pendakwa raya.
- Kes BAFIA– Rafizi turut disabitkan bersalah kerana mendedahkan maklumat perbankan tanpa kebenaran. Walaupun dihukum penjara 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen, Mahkamah Tinggi membebaskannya atas alasan teknikal. Pejabat Peguam Negara pada mulanya merayu keputusan itu, namun kemudian menarik semula rayuan berkenaan.
Pentadbir Facebook Najib menyifatkan ketiga-tiga kes tersebut menunjukkan corak yang sama semua berakhir dengan kelebihan memihak kepada Rafizi, manakala rakyat “tak faham dengan tindakan Pendakwa Raya” yang dilihat luar biasa dan berat sebelah.
Beberapa hari lalu, Rafizi dalam kenyataan awamnya mengkritik keputusan DNAA terhadap Najib, menyifatkan ia sebagai “pengkhianatan terhadap prinsip keadilan” dan membangkitkan keraguan terhadap integriti sistem pendakwaan negara.
Namun, kenyataan tersebut menimbulkan persoalan dalam kalangan netizen dan penyokong Najib yang mempersoalkan mengapa Rafizi tidak menunjukkan ketegasan yang sama ketika kes-kes beliau sendiri mendapat layanan istimewa sewaktu era pentadbiran PH terdahulu.
Pentadbir Facebook Najib menutup hantaran dengan sinis, merujuk kepada kegagalan Rafizi dalam beberapa usaha politik dan teknokratiknya sebelum ini,
“Perkara yang paling ramai rakyat tak kira penyokong PH atau bukan langsung tak boleh faham ialah macam mana satu pun formula yang dia cuba, tak ada satu pun yang menjadi… sampai akhirnya dia sendiri letak jawatan.”