Saya Tak Minta Pertemuan, Tapi Pihak Dr Mahathir Yang Jemput Bertemu – Ahmad Zahid

Calon Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dikatakan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri pada 7 Jun lalu sebenarnya dijemput untuk bertemu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Agenda Daily melaporkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu mendedahkan mengenai pertemuan tersebut semasa berucap di majlis ramah mesra calon-calon pemilihan UMNO anjuran Badan Perhubungan UMNO Selangor di Shah Alam, malam tadi.

Ahmad Zahid berkata “saya dijemput bertemu” dengan Dr Mahathir, dan tidak meminta untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden PPBM itu.

“Selepas (pertemuan itu) saya mengerjakan umrah dan tidak ada kenyataan susulan yang keluar,” katanya seperti dilapor portal tersebut hari ini, menegaskan Ahmad Zahid bakal menjelaskan hal berkenaan dalam pertemuan dengan ahli-ahli UMNO di negeri-negeri lain selepas ini.

Pada 7 Jun lalu, Ahmad Zahid menerusi kemaskini di laman sosial miliknya memaklumkan telah mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir sempena bulan Ramadan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

“Syukur alhamdulillah, sempena dengan bulan Ramadhan al-Mubarak saya telah bertemu dengan YAB Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia.

“Semoga pertemuan ini memberi kebaikan kepada semua,” demikian katanya.

Pertemuan tersebut adalah pertemuan rasmi pertama Ahmad Zahid dan Dr Mahathir selepas Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan dalam PRU14.

Selepas pertemuan tersebut, timbul persepsi bahawa Ahmad Zahid dilihat seolah terhegeh-hegeh berjumpa dengan bekas Presiden UMNO itu, terutamanya selepas kenyataan dibuat Dr Mahathir memaklumkan bahawa Ahmad Zahid dikatakan datang bagi mendapatkan pandangan daripadanya mengenai UMNO.

“Dia nak tahulah cara mana nak uruskan UMNO. Jadi saya berkata, secara terus terang UMNO telah mengkhianati orang Melayu. Kita tubuh UMNO untuk orang Melayu, nak jadi benteng pertahankan bagi keselamatan kepada orang Melayu, (dan) tolong orang Melayu,” kata Dr Mahathir dalam temu bual bersama Sinar Harian.

Dalam pertemuan tersebut juga, Ahmad Zahid mendedahkan Dr Mahathir turut meminta Ahli Parlimen BN dan UMNO untuk menyertai PPBM.

“Saya jawab dengan tegas tidak ada jalan bagi kita sertai parti berkenaan. Saya tidak rela UMNO dibubarkan semata-mata untuk mencapai matlamat politik seseorang.

“Mana mungkin UMNO yang ada 54 Ahli Parlimen, mereka 13 orang. Ular lidi nak telan ular sawa,” katanya. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.