Pengadil Minta Jersi Pemain Portugal

MOSCOW – Pemain sayap Maghribi, Nordin Amrabat mendakwa pengadil perlawanan, Mark Geiger cuba meminta jersi pertahanan Portugal, Pepe pada aksi membabitkan dua pasukan itu, malam tadi.

Kedua-dua pasukan itu berentap di Stadium Luzhniki yang menyaksikan Portugal meraih kemenangan 1-0 menerusi jaringan tunggal Cristiano Ronaldo.

Bintang Real Madrid itu meledak gol keempatnya pada temasya kali ini untuk membantu skuad bimbingan Fernando Santos itu meraih kemenangan pertama dalam dua aksi sekali gus mendahului Kumpulan B.

Namun, Geiger lebih mencuri tumpuan apabila dikatakan cuba meminta jersi rakan sepasukan Ronaldo, Pepe.

Pemain pertahanan terbabit sentiasa berdepan masalah dengan pegawai perlawanan dan sekali lagi mencetus masalah sama pada aksi malam tadi.

Selepas cuba bertelagah dengan Diego Costa pada perlawanan pembukaan bertemu Sepanyol, bekas pertahanan Real Madrid dituduh cuba merebahkan badan selepas ditepuk di bahagian belakang badan oleh Medhi Benatia.

Namun, di sebalik lakonan itu, Geiger lebih gembira untuk meminta jersi Pepe selepas wisel penamat dibunyikan.

“Mengagumkan. Saya tidak tahu apa yang sering dilakukan oleh pengadil dari Amerika Syarikat itu.

“Dia begitu teruja dengan Cristiano Ronaldo. Saya mendengar daripada Pepe bahawa dia mahukan jersinya pada separuh masa pertama.

“Apa yang berlaku ini? Kami di sini untuk Piala Dunia dan ini bukannya sarkas!” – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.