Penduduk Bimbang Penerokaan Hutan Di Bukit Cerakah

SHAH ALAM – Penduduk Bukit Bayu dan masyarakat setempat melahirkan kebimbangan serta buntu dengan tindakan pihak tertentu yang didakwa ‘meneroka’ kawasan hutan Bukit Cerakah di sini atas alasan untuk projek pembangunan.

Difahamkan, isu itu timbul apabila pihak syarikat berkaitan mula meletakkan kon di laluan masuk hutan berdekatan kawasan perumahan berkenaan selain beberapa bunyi letupan.

Keadaan itu sekali gus menghalang orang ramai, terutama pendaki memasuki kawasan trek hutan berkenaan dan turut dikhuatiri mengganggu ekologi alam sekitar serta habitat hidupan liar di situ.

Ironinya, penduduk mendakwa masih keliru kerana tiada sebarang papan tanda diletakkan bagi menyatakan status terperinci projek pembangunan itu, termasuk pemilik sebenar tanah berkenaan.

Wakil penduduk, Datuk Fahri Zaini Aminudin, 39, berkata pihaknya menyedari perkara itu sejak pertengahan bulan lalu apabila melihat sekumpulan individu berada di sekitar kawasan berkenaan.

“Bagi mendapatkan kepastian, saya dan penduduk kemudian membuat carian di internet dan mendapati syarikat berkaitan mendapat kebenaran daripada pihak tertentu untuk kerja ‘pembersihan’ tanah itu.

“Kami juga terkejut apabila difahamkan kerja pembangunan akan dijalankan selepas Aidilfitri ini apatah lagi kedengaran beberapa letupan dipercayai memecahkan batu, baru-baru ini.

“Keadaan itu menimbulkan keresahan penduduk kerana bukan saja banyak haiwan liar seperti ular mula keluar dari hutan berkenaan, malah mungkin risiko lain seperti kejadian tanah runtuh atau sebagainya,” katanya ketika ditemui pada sidang media di taman itu, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi; Pengarah Eksekutif Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) I S Shanmugaraj Subramaniam dan Pengarah Treat Every Environment Special (TrEES), Leela Panikkar.

Kata Fahri, beliau difahamkan sebarang projek pembinaan di kawasan itu sudah diarah dihentikan sejak 2005.

“Namun, kami dimaklumkan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) bahawa ia (projek itu) diberikan kepada sebuah syarikat. Yang peliknya dokumen dikatakan tidak teratur,” katanya.

Justeru, beliau berharap pihak berkaitan dapat mengambil jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi permasalahan berkenaan.

Difahamkan, kawasan Hutan Bukit Cerakah merangkumi keluasan beberapa ribu hektar dan juga antara kawasan tadahan air utama di Selangor selain pusat utama rekreasi termasuk Taman Botani Negara.

Sementara itu, Shanmugaraj berkata, projek pembinaan atau perumahan di sekitar kawasan hutan berkenaan perlu dikurangkan bagi memelihara ekologi hutan berkenaan dan habitat hidupan liar.

“Kita (MNS) mahu Hutan Bukit Cerakah ini tidak diusik dan perlu digazetkan sepenuhnya sebagai Hutan Simpan Kekal.

“Isu seumpama ini bukan hanya menimbulkan konflik hidupan liar seperti monyet, reptilia dan tapir, malah penting untuk tatapan generasi masa depan mengenai alam sekitar tempatan,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.