Otai Reformasi Dakwa Wan Azizah Berat Sebelah, Sengaja Aibkan Dr Idris Ahmad

PETALING JAYA – Kira-kira 20 ahli sebuah badan bukan kerajaan (NGO) pro-PKR mendakwa Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berat sebelah dan mengaibkan Adun Ijok, Dr Idris Ahmad yang didakwa calon tunggal menteri besar mendapat sokongan semua parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Sehubungan itu, ahli Otai Reformis yang merupakan bekas setiausaha NGO itu, Abdul Razak Ismail menuntut pucuk pimpinan PKR menjelaskan surat pembatalan Dr Idris sebagai calon tunggal menteri besar Selangor.

“Bagaimana PKR boleh menidakkan hak pencalonan Dr Idris sendiri, walhal PKR sendiri mengeluarkan 2 surat sokongan bertarikh 4 dan 5 Jun menyokong Dr Idris. Keputusan tidak konsisten, hari ini orang ini dilantik, kemudian esok orang lain pula yang dilantik.

“Otai tidak mempertikaikan hak Sultan Selangor melantik pengganti lain, tetapi kita sangsi dengan kaedah pelantikan itu,” katanya dalam sidang media di kediaman Dr Idris, hari ini.

“Wan Azizah keluarkan surat baru beberapa hari sebelum pelantikan menteri besar yang meminta membatalkan surat sokongan dari DAP, PPBM dan PKR kepada Dr Idris.”

Semalam, Istana Selangor memberitahu Sultan Sharafuddin Idris Shah menerima surat bertarikh 7 Jun dari Wan Azizah mencalonkan 3 adun untuk diperkenan sebagai calon menteri besar.

“Dalam surat itu, Wan Azizah memohon perkenan Tuanku bagi menerima menghadap mana-mana calon yang pada pandangan Tuanku layak mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor bagi tujuan mengangkat sumpah sebagai menteri besar.

“Surat bertarikh 7 Jun 2018 oleh presiden PKR itu juga secara tidak langsung membatalkan surat terdahulu yang ditulis ketua-ketua parti politik Selangor kepada Tuanku,” kata kenyataan Istana Selangor.

Awal bulan ini, PPBM bersama DAP dan Amanah Selangor dilaporkan sebulat suara menamakan Dr Idris sebagai calon tunggal bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Datuk Seri Azmin Ali, tetapi akhirnya Exco Selangor, Amiruddin Shari yang mengangkat sumpah jawatan itu Selasa lalu.

Sementara itu, Razak berkata, mereka juga kecewa tiada pemimpin PKR yang mempertahankan Dr Idris daripada dakwaan penyelewengan dana pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk pelajar Kolej Vision Kelana Jaya (Kolej Vision).

“Saya pelik dan hairan kenapa isu ini tidak timbul sewaktu Dr Idris dicalonkan pada pilihan raya umum lalu, tetapi hanya timbul ketika Dr Idris dicalonkan sebagai menteri besar Selangor.

“Apa yang terjadi adalah kita mahu namanya dibersihkan, jangan ‘move forward’ lagi selagi nama Dr Idris tidak dibersihkan kerana kita dikhabarkan isu PTPTN ini antara punca Dr Idris tidak dicalonkan.”

Dr Idris berkata, beliau membuat laporan polis Isnin lalu bagi membersihkan namanya daripada dakwaan penyelewengan dana pinjaman PTPTN untuk pelajar Kolej Vision.

“Saya mahu bersihkan nama saya, saya bekerja di hospital berprestasi tinggi, ia juga jejaskan kerjaya saya sebagai doktor pakar. Saya bukan sahaja wakil rakyat,” kata pakar sakit puan itu.

Selasa lalu, Dr Idris berkata, mengapa beliau perlu mengambil wang PTPTN sedangkan beliau mempunyai kedudukan kewangan kukuh, termasuk rumahnya yang bernilai RM8 juta.

Katanya, beliau hanya berperanan sebagai penasihat dan ahli Lembaga Pengarah Kolej Vision dengan 35% pegangan saham, tetapi tiada kedudukan dalam pengurusan kolej itu.

Beliau berkata, pihak pengurusan Kolej Vision turut mengesahkan mereka tidak menghadapi masalah atau kesalahan berkaitan PTPTN serta Kementerian Pengajian Tinggi sejak ditubuhkan pada Julai 2005. – Fmt

One thought on “Otai Reformasi Dakwa Wan Azizah Berat Sebelah, Sengaja Aibkan Dr Idris Ahmad

  • June 22, 2018 at 8:36 am
    Permalink

    tiada rezeki ….apa yg susahnya…. nak apa lagi…org tak mahu!!! duk diam jer….ada rezeki nanti adalah…. buat malu jer>> nak jawatan… sangat….

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.