Mohamad Hasan Nafi Tanding Sepasukan Dengan Khairy

SEREMBAN – Calon Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menolak dakwaan bahawa beliau dan Khairy Jamaluddin bertanding sebagai satu pasukan dalam pemilihan UMNO pada 30 Jun ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan itu berkata, spekulasi tentang wujudnya gandingan antara beliau dengan calon Presiden itu timbul ekoran mereka mewakili UMNO Bahagian Rembau dan dari negeri yang sama.

“Tidak ada pasukan (dengan Khairy). Saya pernah kata bahawa saya pemain perseorangan, tidak ada kumpulan atau pasukan. Saya menawarkan diri dengan bersandarkan pengalaman me­nguruskan syarikat multinasional dan mentadbir Negeri Sembilan selama tiga penggal.

“Terpulanglah kepada ahli UM­NO membuat keputusan untuk memilih pemimpin yang mereka rasakan boleh mengurus parti de­ngan baik,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mohamad yang juga bekas­ Men­­teri Besar merupakan Ke­tua­ UMNO Bahagian Rembau manakala Khairy adalah timbalannya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, walaupun beliau dan Khairy dari bahagian dan nege­ri yang sama, beliau yakin perwakilan akan membuat penilai­an berdasarkan kebolehan serta kewibawaan mereka untuk me­nyumbang kepada parti.

“Memang susah juga bagi saya kerana calon Presiden dan Timbalan Presiden datang dari Rembau, tetapi tak apalah. Saya harap ahli UMNO boleh menilai, bukan lihat kami dari satu negeri dan bahagian, sebaliknya kepada kebolehan calon.

“Siapa tahu mungkin UMNO boleh bangkit semula dari Rembau,” ujarnya.

Ditanya tentang keputusan Khairy bertanding jawatan Presi­den, Mohamad berkata, Ahli Parlimen Rembau itu mengambil langkah tersebut kerana mahu muka baharu ditampilkan seiring de­ngan usaha UMNO bangkit semula selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Dia minta saya bertanding ja­watan nombor satu parti, tetapi saya tidak mahu. Dia kata biar dia bertanding kerana kalau tidak tawarkan muka baharu, orang akan lihat UMNO tidak berubah.

“Itu hasrat dia untuk menjual semula UMNO dan menunjukkan parti sudah berubah,” katanya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.