Korea Utara Serah 200 Mayat Tentera Amerika

DULUTH – Presiden Donald Trump, berkata Korea Utara sudah memulangkan 200 mayat anggota tentera Amerika Syarikat yang dilaporkan hilang ketika Perang Korea.

Namun, tiada pengesahan rasmi mengenainya daripada pihak berkuasa tentera kedua-dua negara.

“Kita sudah mendapat kembali wira-wira kita yang hebat, mayat mereka akan dibawa pulang hari ini, kira-kira 200 sudah dihantar balik,” kata Trump kepada penyokongnya pada perhimpunan di sini.

Sementara itu, pada Selasa lalu, pihak berkuasa Amerika Syarikat yang enggan mendedahkan identitinya berkata, Korea Utara akan menyerahkan ‘sejumlah besar’ mayat kepada Pemerintah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Korea Selatan, sebelum dipindahkan ke Pangkalan Tentera Udara Hickam di Hawaii.

Trump bertemu dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dalam satu sidang kemuncak bersejarah di Singapura minggu lalu dan pada sidang media selepas mesyuarat itu berakhir mengumumkan bahawa pemimpin Pyongyang itu bersetuju untuk menyerahkan mayat tentera Amerika Syarikat.

Mengikut data tentera Amerika Syarikat, nasib kira-kira 7,700 tentera Amerika Syarikat yang terbabit dalam Perang Korea pada 1950 hingga 1953 masih belum diketahui. – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.