Unta Qatar Diusir Dari Padang Arab Saudi

Ketegangan hubungan antara Qatar dan beberapa negara teluk telah mengakibatkan Arab Saudi mengambil tindakan dengan menghalau semua unta dan kambing milik warga Qatar.

Terdapat kira-kira 15,000 unta dan 10,000 kambing telah `pulang’ ke Qatar. Susulan itu pihak berkuasa Qatar telah menyediakan kawasan sementara dilengkapi dengan tangki air dan makanan.

Selain itu, pakar haiwan dan pemandu telah ditempatkan di kawasan itu bagi memberikan bantuan kepada pemilik binatang terbabit.

Kebanyakan penduduk Qatar memelihara binatang ternakan mereka di Arab Saudi kerana negara itu tidak memiliki padang ragut yang mencukupi.

Bagaimanapun tindakan terbaru Riyadh ini telah mencetuskan kemarahan di kalangan pemilik binatang ternakan dari Qatar.

“Kami hanya mahu pergi ke Arab Saudi untuk menjaga unta kami dan kemudian balik (Qatar) untuk menjaga keluarga kami.

“Kami tidak mahu terlibat dalam perkara politik ini. Kami tidak gembira,” kata salah seorang penternak, Ali Magareh.

Awal bulan ini, Arab Saudi dan beberapa negara Timur Tengah, antaranya Emiriah Arab Bersatu (UEA), Bahrain dan Mesir memutuskan hubungan diplomatik dan perhubungan dengan Qatar, kerana didakwa mendukung terorisme seperti Al Qaeda, Daesh, Hamas, dan Ikhwanul Muslimin.

Qatar bagaimanapun membantah tuduhan itu. Qatar merupakan negara yang menempatkan pangkalan udara Amerika Syarikat (AS) terbesar di rantau itu dan mempunyai ke­pentingan bagi operasi meme­­ra­ngi kumpulan pengganas Daesh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.