TNB Serah Bayaran Royalti RM11.6 Juta Kepada Terengganu


KUALA TERENGGANU – Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini menyerahkan bayaran royalti penggunaan air dan lesen takungan air di Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud (SJSM), Kenyir bagi tahun kewangan 2017 berjumlah RM11.6 juta kepada kerajaan negeri.

Penyerahan cek disempurnakan oleh Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Bahagian Penjanaan TNB, Azman Talib kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Menurut Ahmad Razif, pembayaran itu dibuat setiap tahun sejak stesen berkenaan mula beroperasi pada 1985 berdasarkan perjanjian yang ditandatangani di antara kerajaan negeri dan TNB (dahulunya Lembaga Letrik Negara) pada 24 Ogos 1987.

Katanya, perjanjian tambahan pertama telah ditandatangani pada 19 Julai 2000 manakala perjanjian tambahan kedua pula pada 18 November 2008.

“Mengikut perjanjian tambahan kedua, TNB membayar sebanyak RM11.6 juta dengan RM3.6 juta bagi lesen takungan air serta RM8 juta membabitkan penggunaan air dan perjanjian ini akan tamat pada 23 Ogos depan.

“Sepanjang ia dimeterai, pihak LLN/TNB telah membayar keseluruhan RM195 juta kepada kerajaan negeri,” katanya selepas majlis pembayaran royalti penggunaan air dan lesen takungan air di SJSM, Kenyir bagi tahun kewangan 2017 di Wisma Darul Iman, di sini. –  Utusan


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.