Terapi Taman Rawat Masalah Psikiatri

SEORANG wanita warga emas mendekati petak bunga lavender sambil menghidu aroma segar tumbuhan itu.

Bunga itu hidup subur di taman sebuah istana abad ke-20 yang dijadikan pusat penjagaan pesakit mental di Ruskie Piaski, Poland.

Perlahan-lahan bibirnya mengukir senyum lebar, sekali gus memadam ekspresi kaku yang ditunjukkan penghidap skizofrenia paranoid itu.

Di sisi lain istana itu pula, tiga lelaki sedang bekerja keras menggembur tanah untuk menanam sayur-sayuran dan buah beri.

Mereka akan menuai sendiri hasil tanaman itu apabila tiba masanya kelak.

Menurut AFP, Empat individu itu merupakan antara 59 pesakit yang sedang menjalani rawatan musim bunga di desa tersebut sejak tahun 2014.

Premis itu merupakan salah satu pusat rawatan utama yang menawarkan khidmat terapi taman di Poland.

Saintis Biologi Universiti Pertanian Krakow, Bozena Szewczyk-Taranek, menjelaskan, kebun bunga itu menyediakan persekitaran yang merangsang pancaindera pesakit.

Dalam hal ini, mereka boleh menghidu haruman dan menyentuh bunga manakala pengalaman jari tercucuk duri juga bukanlah sesuatu yang buruk.

“Ia turut memudahkan proses pemulihan.

“Sebagai contoh, bagi pesakit yang mempunyai masalah mengira, mereka boleh melompat dari satu batu ke satu batu yang lain sambil mengira.

“Begitupun, melihat kepada situasi kesihatan pesakit, kami perlu memastikan kebun itu bebas daripada tumbuhan bertoksid seperti lili lembah, pohon cemara dan bunga tiga bulan dari spesies Hydrangea,” ujarnya, lapor Kosmo.

Szewczyk-Taranek bakal memperkenalkan kursus latihan terapi hortikultur di universiti tempatnya bertugas yang akan bermula pada September ini.

Terapeutik

Keupayaan taman bunga dalam memberi pengaruh positif kepada pesakit dipercayai telah diamalkan oleh masyarakat Mesir purba.

Seorang pesakit mental kelihatan sedang menghidu bau semula jadi bunga lavender.

Namun, amalan terapi moden sudah bermula sejak abad ke-19 dan diaplikasikan untuk membantu tentera yang cedera ketika Perang Dunia Pertama.

Pengarah pusat tersebut, Alina Anasiewicz berkata, walaupun terapi hortikultur tidak boleh menyembuhkan penyakit mental secara langsung, ia mampu merangsang pesakit daripada aspek intelektual, kesejahteraan sosial dan meningkatkan keyakinan diri golongan itu.

Katanya, kaedah-kaedah terapi itu dipelajari di Switzerland pada tahun 2013.

Ketika itu, Switzerland telah menyerahkan cek bernilai 330,000 euro (RM15.7 juta) untuk mewujudkan taman terapeutik terdiri daripada kebun bunga dan sayur-sayuran di rumah penjagaan tersebut.

Switzerland telah menubuhkan program pembiayaan seumpama itu sejak sedekad lalu untuk membantu merapatkan jurang antara negara anggota Kesatuan Eropah (EU).

“Walaupun pesakit sekadar keluar menghirup udara segar, ia boleh membantu menambah baik keadaan fizikal mereka,” tuturnya sambil menunjukkan lokasi pesakit boleh menyentuh aliran air dan turun mengharungi kolam kecil buatan yang dibina di situ.

Bercerita lanjut, Anasiewicz berkata, untuk tiba ke mata air itu, pesakit perlu berkaki ayam dengan memijak susunan batu-batu, pasir dan kayu balak.

Tekstur lapisan yang berbeza akan merangsang deria mereka.

Pesakit boleh tinggal di sana selagi keadaan mereka memerlukan pengawasan dan penjagaan kesihatan daripada petugas bertanggungjawab.

Namun, terapi taman bergantung kepada cuaca. Pada musim sejuk, pesakit akan berasa lebih tertekan dan diminta pulang lebih awal daripada tempoh rawatan yang dirancang

“Kami sebenarnya mengambil masa bertahun-tahun untuk meyakinkan petugas di sini bahawa aktiviti yang kami lakukan dapat membantu pesakit pulih atau berubah menjadi lebih baik.

“Pada masa itu, lebih mudah mengusahakan taman-taman daripada mengubah mentaliti kakitangan kami,” tuturnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.