‘Saya Harap Muzik Tak Kembali Ke Belakang’ – Asfan

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Asfan, berharap dunia muzik negara akan terus bergerak ke hadapan dengan memperkenalkan pelbagai genre lebih segar. Katanya, seharusnya muzik yang dihasilkan lebih maju ke depan, bukannya kembali ke zaman terdahulu.

“Kita dapat lihat pasaran muzik pada tahun ini dikuasai oleh penyanyi remaja yang membawakan muzik ‘fresh’. Perkara ini sekali gus menimbulkan persaingan sihat antara pelapis industri seni tempatan.

“Cuma kalau boleh, saya berharap kita tidak kembali ke belakang, sebaliknya bergerak ke hadapan dengan menyajikan pelbagai genre muzik yang lebih baharu. Seluruh dunia maju ke hadapan, jadi kenapa kita mahu ke belakang pula?” kata Asfan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai selera muzik masa kini sewaktu ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Astro di Hotel Majestic di sini.

Sejak setahun lalu, dunia muzik tanah air bagai kembali menyaksikan kebangkitan lagu dengan sentuhan irama 90-an yang dipersembahkan oleh beberapa penyanyi solo dan artis berkumpulan.

Sementara itu, Asfan berkata beliau harus berhati-hati memilih single, dengan mengekalkan format sama ketika mencipta lagu

. Semuanya gara-gara tekanan daripada penerimaan memberangsangkan terhadap lagunya sebelum ini. Mula dikenali menerusi lagu Alasan Untuk Bahagia, Asfan kini tampil dengan single seterusnya berjudul Kisah Cinta.

Lagu berentak balada terbabit turut menjadi siulan ramai apabila dipilih menjadi runut bunyi drama rantaian, Shhh…I Love You.

“Alhamdulillah, saya anggap ia sebagai bonus apabila single nyanyian saya menjadi runut bunyi drama bersiri. Ia membolehkan lagu berkenaan kerap dimainkan.

“Ketika menghasilkan sesebuah lagu, saya tidaklah merancang menjadikannya runut bunyi. Jadi, apabila ia dipilih untuk melatari sesuatu drama, saya anggap semua itu sebagai rezeki.

“Selepas single Kisah Cinta, saya merancang untuk mengeluarkan album pada September depan. Selain Qanda, album itu turut memuatkan duet saya bersama beberapa penyanyi lain,” kata Asfan.-Bharian

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.