Raja Farah Keguguran


KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengacara, Raja Farah, akur dengan ketentuan Tuhan apabila dirinya mengalami keguguran hanya beberapa hari sebelum umat Islam menyambut kedatangan 1 Syawal.

Menurutnya, kejadian berkenaan berlaku selepas waktu berbuka, malam tadi, ketika dirinya sedang berniaga di sebuah karnival di Kuala Selangor, lapor BH.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu berdepan musibah berkenaan ketika kandungannya berusia dua bulan.

“Emosi saya memang tidak stabil ketika berdepan ujian berkenaan. Kini saya berusaha mendapatkan semula semangat yang hilang. Maklum saja, inilah pengalaman pertama saya berdepan kesedihan sedemikian.

“Jika diikutkan, sejak awal kehamilan lagi saya mengalami pendarahan tanpa henti. Doktor turut memaklumkan, saya mungkin berdepan keguguran menerusi kehamilan kedua ini. Boleh dikatakan, saya juga seperti sudah bersedia sebenarnya. Cuma, tidak sangka pula saya mengalaminya ketika kita semua hendak menyambut Hari Raya,”katanya yang terpaksa menutup gerai jualai lebih awal disebabkan perkhabaran itu.

Tambahnya, selepas menghubungi doktor, beliau menyarankan saya ke hospital di Petaling Jaya untuk mendapatkan rawatan. Mujurlah ketika kejadian, saya ditemani ibu bapa dan anak sulung (Imran),” katanya yang menjual pelbagai aneka biskut raya dan macaroon pada karnival berkenaan.

Katanya, dia tidak mahu terlalu memikirkan soal sambutan Aidilfitri.

“Walaupun perasaan saya masih tidak tenteram ketika ini, saya terima suratan Ilahi dengan lapang dada. Tahun ini pun kami akan beraya di kampung ibu di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

“Memang persiapan raya tidak dibuat dengan beriya-iya. Saya juga perlu berpantang dan pada masa sama harus memenuhi komitmen berniaga di Shah Alam pula,” katanya yang mengaku keadaannya kini bertambah baik.

Raja Farah dan Iskandar berkahwin pada 6 September 2015.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.