Nora Tetap Berkunjung Ke Rumah Bekas Mertua Pada Hari Raya

WALAUPUN sudah mendirikan rumah tangga dengan suami baru, Nora Danish tetap menjadikan berkunjung ke rumah bekas mertuanya sebagai salah satu agenda penting pada sambutan hari raya nanti.

Kerana bagi pelakon yang tak dimakan usia ini, silahturrahim dengan bekas mertuanya iaitu Tan Sri Ramli Ngah Talib dan Puan Sri Raja Noora Ashikin Raja Abdullah masih terjalin seperti biasa dan menganggap kedua-duanya seperti ibu bapa kandung.

Tambah Nora lagi, anaknya Putra Rayqal Ramli sangat rapat dengan datuk dan neneknya itu.

“Menziarahi bekas mertua adalah perkara harus dibuat setiap tahun kerana saya sudah anggap mereka seperti keluarga sendiri.

“Rayqal pula memang rapat dengan mereka jadi tiada sebab kenapa saya tidak boleh melawat walaupun saya sudah berpisah dengan anak mereka,” katanya.

Nora sebelum ini pernah berkahwin dengan Rizal Ashram Ramli namun bercerai pada 10 Julai 2008 selepas dua tahun berkahwin.

Nora kemudian berkahwin dengan Nedim Nazri pada 30 Mac lalu.

Untuk perancangan tahun ini, Nora mendahulukan sambutan perayaan dengan suaminya dahulu sebelum mengunjungi ahli keluarga mereka yang lain.

Selain itu, dia dan Nedim juga bercadang untuk mengadakan rumah terbuka bagi meraikan kaum keluarga dan sahabat handai.

“Seperti kebiasaan saya akan sambut hari raya secara sederhana tetapi tahun ini ia akan jadi meriah kerana akan meraikan bersama suami.

“Kami akan berhari raya di rumah keluarga Nedim terlebih dahulu dan keluarga saya sebelum membawa Rayqal berjumpa dengan bapanya,” kata Nora.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.