Nazri Persoal Isu Kad Nama Isterinya Guna Lambang Kementerian

PETALING JAYA – Gambar kad nama seolah kad kementerian pelancongan dan kebudayaan yang didakwa milik isteri menterinya, Datuk Seri Nazri Aziz, tular di media sosial hari ini.

Gambar itu memaparkan kad nama tertera nama “Datin Seri Haflin S” dan “Isteri – Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia” di samping jata negara, alamat kementerian di Putrajaya, nombor telefon Malaysia dan Perancis, serta emel.

Kad nama itu turut memaparkan gambar pemilik.

Nazri ketika dihubungi FMT berkata beliau tidak pernah maklum tentang pengeluaran kad tersebut.

“Untuk mengeluarkan mana-mana kad daripada kementerian, perlu dapatkan kelulusan saya. Saya tidak pernah memberi kebenaran kepada sesiapa…tetapi ada juga pegawai yang tak boleh dipakai, maka saya tak tahu kad itu betul atau tidak.”

Beliau juga memaklumkan isterinya tidak pernah meminta kad seumpama itu.

Nazri menegaskan tidak bersetuju dengan pengeluaran kad rasmi kementerian kepada ahli keluarga. “Anak saya pun saya tidak benarkan,” katanya.

Gambar kad nama itu turut dikongsi bekas editor Kumpulan New Straits Times Mustapha Kamil Mohd Janor, yang berkata campurtangan keluarga dalam urusan negara tanda negara menuju kegagalan.

“Selain itu, bolehkah sesiapa menggunakan jata negara sesuka hatinya?” katanya di Facebook.

Laman Facebook popular Tentera Troll Kebangsaan Malaysia turut memuatnaik gambar itu, dan setakat ini sudah dikongsi 179 pengguna lain. – Fmt

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.