Mufti Tolak Masjid Liberal

KUALA LUMPUR — Beberapa lagi mufti tampil menolak pendekatan masjid “liberal” di Berlin yang membenarkan makmum lelaki dan wanita bercampur.

Mereka juga sependapat tidak sah solat jemaah makmum lelaki yang berimamkan seorang wanita.

“Wanita tidak boleh menjadi imam kepada jemaah lelaki apatah lagi dalam keadaan tidak menutup aurat,” kata mufti Kedah Datuk Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad, lapor Kosmo.

Mufti Wilayah Persekutuan pula berkata majoriti ulama melarang wanita menjadi imam kepada lelaki walau status dalil hadis mengenai larangan itu lemah.

Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata harus hukumnya wanita menjadi imam kepada makmum wanita.

Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Muhammad berkata solat berimamkan wanita dengan makmum lelaki tidak sah.

Semalam mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria menyifatkan solat seumpama itu bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, lapor akhbar sama.

“Syarat sah solat berjemaah perlu diimamkan oleh lelaki dan tidak sah jika diimamkan oleh wanita,” katanya.

“Solat juga tidak sah sekiranya saf diselang-selikan dengan wanita. Umum sedia maklum bahawa perbuatan itu bertentangan dalam akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.”

Jumaat lalu, Masjid Ibnu Rushd-Goethe di ibu negara Jerman membenarkan jemaah lelaki dan wanita bersolat bersebelahan selain berimamkan seorang wanita.

AFP melaporkan, Diasaskan oleh tujuh individu, masjid ke-88 di sini terletak di tingkat tiga sebuah bangunan gereja Protestan.

Semua penganut mazhab Islam, termasuk Syiah, sufi dan Alawi, dibenarkan bersolat di sini. Golongan gay dan lesbian juga diizinkan beribadat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.