Malaysia Turut Jadi Sasaran AS Tukar Pemerintahan Sedia Ada

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak terkecuali menjadi sasaran Amerika Syarikat (AS) yang mahu menukar pemerintahan sedia ada dengan menggunakan perancangan halus tetapi cukup rapi dan terselaras, kata Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, ia kerana Malaysia adalah sebuah lagi negara Islam yang mengalami perkembangan mutakhir di rantau ini serta kebangkitan pengaruh negara China melengkapkan alasan dan membuka selera AS terutama agensi pimpinan atau pro-Zionis yang cukup berpengaruh di sana.

Menurutnya, rakyat terutama umat Islam sudah tahu apa itu “Keadilan ala Amerika”, “Demokrasi ala Amerika” dan “Diplomasi ala Amerika yang mana rakyat Iraq, Palestin, Libya, Syria, Mesir, Yaman dan beberapa negara lain telah merasainya.

“Satu daripada kepakaran mereka, serta ejen-ejennya adalah keupayaan mempengaruhi dan menggunakan ‘kayu untuk menumbangkan kayu’.

“Mereka akan mencari alasan untuk mencampuri urusan dalam negara lain dengan menggunakan penentang, pemberontak dan pembangkang untuk mewujudkan ketidakstabilan dan membawa kepada pertukaran rejim.

“Mereka tidak akan berhenti memulas tangan dan telinga sehingga negara itu tunduk dan hidung dicucuk menjadi sekutu mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu katanya, hanya solidariti rakyat dan ketahanan nasional serta pimpinan terkuat lagi stabil yang mampu menghalang mereka.

“Dengan menjangkakan pilihan raya umum ke-14 akan diadakan pada bulan Ogos, September atau Oktober nanti, mereka khususnya, Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat dengan kerjasama ‘kayu-kayu’ yang mencari kuasa, melancarkan sekali lagi tindakan ‘preemptive’ ke arah pertukaran rejim dengan satu perancangan halus tetapi cukup rapi dan terselaras sekali.

“Mereka tidak perlukan kebenaran, beban bukti dan tidak perlu mengikut undang-undang negara sasar. Cukup sekadar aduan, tuduhan, insinuasi dan persepsi dalam mewujudkan ketidakstabilan sesebuah negara.

“Dalam hal ini, kita ahli UMNO yang selama ini menjadi tunjang dan benteng utama negara sejak penentangan kita terhadap Malayan Union hingga kini, harus berupaya dan melipatgandakan iltizam dalam bersolidariti serta wala’ bersama saf pimpinan,” katanya.

Beliau juga menyeru seluruh ahli UMNO supaya terus mempamerkan ketahanan dan jati diri pada tahap tertinggi bersama semua pihak lain yang sedar serta bersedia memperkasakan perpaduan ummah dan mengukuhkan tahaluf siyasi bersama kita.

“Saya menyeru seluruh kekuatan jentera penerangan parti di semua peringkat supaya tidak mudah alpa, malah sebaliknya melipatgandakan usaha memerangi setiap fitnah, ugutan dan perang saraf yang datang dalam pelbagai bentuk dan jenis saluran media,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.