Kutuk Dalam Facebook, Dua Pelajar Sekolah Bertumbuk

NILAI – Polis mengenal pasti satu rakaman video pergaduhan membabitkan dua remaja lelaki yang tular di media sosial sejak semalam melibatkan dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mantin di sini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin berkata, pergaduhan itu berpunca daripada rasa tidak puas hati kedua-dua remaja terbabit kerana terlebih dahulu saling memperli dan mengutuk di laman Facebook.

“Pergaduhan ini melibatkan seorang pelajar tingkatan lima dengan seorang pelajar tingkatan empat di sekolah berkenaan. Punca pergaduhan kerana saling memperli dan mengutuk di Facebook Live.

“Pelajar tingkatan empat itu dipercayai mengutuk pelajar tingkatan lima menyebabkan mereka bersemuka. Pelajar tingkatan lima menyahut cabaran untuk bertumbuk di luar sekolah,” katanya, lapor Kosmo.

Rakaman video berdurasi satu minit 26 saat yang tular sejak semalam itu menunjukkan dua remaja lelaki bergaduh, manakala kira-kira 10 pelajar berpakaian seragam sekolah bersorak menyaksikan pergaduhan itu.

Dalam pada itu, Zaldino berkata, pergaduhan itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 1 tengahari di sebuah taman permainan yang terletak kira-kira 100 meter dari SMK Mantin pada 16 Jun lalu.

Katanya, ibu bapa kedua-dua pelajar terbabit telah mengetahui tentang kejadian tersebut, namun tidak mahu ia diperbesarkan.

“Tiada laporan rasmi dibuat oleh mana-mana pihak mengenai kes itu setakat ini. Polis bagaimanapun akan melakukan siasatan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.