Khalid Mahu Jumpa TMJ

KUALA LUMPUR – Legenda bola sepak negara, Khalid Ali, berhasrat bertemu Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ), bagi memberi sokongan kepada baginda dalam memajukan bola sepak negara.

Menurut Khalid, keinginan untuk bersemuka dengan TMJ memuncak susulan kekalahan 1-2 Harimau Malaya kepada Lubnan dalam kempen kelayakan Piala Asia 2019 minggu lalu dan menyebabkan baginda dikritik berikutan kekecewaan itu, lapor BH.

“Saya akan sampaikan mesej kepada baginda, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Saya akan membuktikan sokongan saya kepada baginda selain berkongsi pandangan dan juga idea bagi membantu baginda mengembalikan semula maruah bola sepak negara,” katanya.

Khalid bercadang bertemu Tunku Ismail bersama bekas ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal dan pengendali pasukan Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan.

“Tiada individu lain di Malaysia yang kini lebih layak menjawat jawatan nombor satu FAM. Hanya baginda sahaja yang mempunyai segala ciri yang diperlukan sebagai seorang pemimpin yang mampu untuk melakukan perubahan kepada pasukan kebangsaan.

“Selama ini semua orang fikir Khalid Ali menentang TMJ, tetapi kenyataannya adalah tidak. Peminat sering salah faham tentang apa yang saya cuba lakukan.

“Oleh itu, sudah sampai masanya untuk saya dan beberapa bekas pemain lain bersemuka dengan TMJ untuk membuktikan sokongan kami terhadap baginda,” tegasnya.

Terdahulu, TMJ mengambil alih teraju kepemimpinan FAM pada Mac lalu.

Khalid turut mengulas gesaan yang dibuat Presiden Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Tun Aminah, yang yang mahu TMJ meninggalkan FAM dan pulang semula bagi mengendali pasukan JDT, susulan kecewa dengan kritikan yang baginda terima.

“Ia mampu memusnahkan jutaan harapan peminat tempatan yang mahu melihat pembaharuan yang ingin dibawa TMJ.

“Tunku Tun Aminah perlu memainkan peranan sebagai seorang yang rapat dengan TMJ kerana apa yang paling diperlukan TMJ pada waktu ini adalah kepercayaan daripada seluruh pihak yang dijelmakan dalam bentuk sokongan terhadap baginda.

“Niat Tunku Tun Aminah itu baik kerana beliau sayangkan kekandanya. Namun, Tunku Tun Aminah perlu lebih terbuka dan ketika ini apa yang TMJ perlukan adalah sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada semua pihak.

“Baginda mahu semua orang bersatu di belakang baginda. Saya berharap TMJ tidak membuat keputusan secara drastik,” kata Khalid.

Beliau menambah, arena bola sepak negara akan musnah dan zaman kejatuhan bola sepak negara akan berterusan sebelum ia mampu bangkit sekiranya TMJ meletakkan jawatannya sebagai Presiden FAM.

“Saya merayu kepada TMJ supaya tidak terburu-buru membuat keputusan seterusnya. Berikan kami (bekas pemain) yang ada pengalaman bermain pada waktu kegemilangan bola sepak negara peluang untuk berkongsi pandangan kami dan anggaplah ia sebagai tanda sokongan kami kepada baginda,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.