Kelengkapan Raya Musnah ,Rumah Dijilat Api


SEBUAH rumah di Lorong Sulaiman Parit Haji Sidek, Batu Pahat, musnah dalam kejadian kebakaran yang dipercayai berpunca daripada pembakaran daun kering kira-kira 8 malam tadi.

Ibu tunggal, Jasmah Ahmad, 63, berkata, ketika kejadian dia bersama empat anak berusia dalam 20-an baru selesai berbuka puasa sebelum menyedari bahagian dapur dijilat api.

“Makcik dan anak anak cuba memadamkan api dengan menyimbah air namun apinya marak dengan cepat hingga menjulang mencecah atap zink.

“Rumah kayu yang disewa ini musnah dalam 15 minit dan kami tidak sempat menyelamatkan apa-apa. Tinggal sehelai sepinggang,” katanya ketika ditemui, malam tadi.

Menurutnya, api menjadi tidak dapat dikawal lagi apabila tong gas memasak meletup dan kebakaran itu menyebabkan rumah jirannya turut terjejas.

Katanya, dia bersyukur kerana tiada yang mengalami kecederaan teruk dan reda dengan ujian Ilahi.

“Makcik hanya sempat mencapai kad pengenalan namun dokumen penting lain tidak sempat diselamatkan. Baju dan kuih raya habis musnah semuanya,” katanya.

Jasmah berkata, anak lelakinya, Mohd Anuar Sulaiman, 20, yang terhidu asap tebal dimasukkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail kerana sesak nafas.

Wakil Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sri Gading, Majdan Jamain, berkata sudah menghulurkan bantuan segera termasuk wang dan barangan makanan harian.

“Kami akan rujuk kes ini kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan mencari rumah sewa dan berdekatan dengan kediaman lama keluarga ini,” katanya.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.