Indah Tahu Individu Jaja Cerita Dirinya Putus Tunang

KUALA LUMPUR: Menyedari ada dalam kalangan individu dikenalinya cuba memburukkan imej beliau dengan mereka cerita yang bukan-bukan, Indah Ruhaila terus menafikan dakwaan dirinya menjalinkan hubungan intim dengan seorang pengurus kecergasan korporat.

Penyanyi Percayalah itu juga sekali lagi menegaskan, hubungan beliau dan lelaki berkenaan tidak lebih daripada seorang rakan.

“Kita tahu, sebagai selebriti, ramai yang memandang dan sebahagiannya pula tidak suka dengan kita sehingga mengeluarkan cerita seperti ini. Malah, lelaki itu bukan jurulatih peribadi saya pun, sebaliknya sekadar membantu.

“Saya tahu siapa yang bercakap mengenai hal ini dan dia berada dalam kelompok sama yang mengenali kami. Saya tidak tahu motif dirinya menyebarkan cerita ini? Mungkin dia dengki melihat hubungan baik kami. Apa yang boleh saya katakan, hubungan kami tak lebih daripada sekadar kawan,” katanya kepada BH Online.

Hari ini, BH Online menerima kiriman e-mel daripada seorang pembaca yang mendakwa mengenali Indah dan tunangnya, begitu juga lelaki yang dikenali sebagai Boy, duda dua anak yang dikaitkan dengan penyanyi itu.

Individu terbabit mendakwa, hubungan Indah dan tunangnya yang dikenali sebagai Mr R sudah berakhir sejak April lalu.

Malah, Indah dikatakan menjalinkan hubungan cinta dengan Boy sejak awal tahun lalu.

“Saya tak nak cakap pasal hubungan dengan R. Apabila sampai masanya nanti, saya akan jawab. Orang tidak tahu apa yang berlaku, sebaliknya mereka hanya bercakap menerusi pandangan mata kasar saja.

“Perkara ini berat buat saya. Kami sudah empat tahun bertunang, tetapi tidak kahwin-kahwin lagi. Saya tak boleh cerita pada semua orang apa yang berlaku.

“Sekiranya tiada jodoh, tak adalah. Orang boleh buat pelbagai andaian sebab gosip mengenai saya putus tunang sudah lama bertebaran, iaitu sejak awal saya membabitkan diri dalam industri lagi. Apabila orang memperkatakannya, ia umpama doa,” katanya.

Mengharapkan sokongan dan doa daripada peminat untuknya menghadapi kemelut yang melanda, penyanyi ini tidak mahu situasi terbabit menjadi semakin teruk dan berlarutan.

“Kalau betul peminat saya, mereka tak boleh mudah menjatuhkan hukum. Saya dengan dirinya memang sekadar kawan sebab saya ada tunang, jadi kenapa pula nak kenal orang lain?

“Saya juga tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan perkara itu sebab takut nanti apabila orang nampak saya dengannya, mereka akan kata saya cakap berbelit-belit pula. Apapun, inilah dugaan bulan puasa yang perlu saya hadapi dan saya reda dengannya.

“Saya sendiri tidak tahu siapa jodoh saya? Mungkin dengan R atau dengan dia, dan mungkin juga dengan orang lain,” katanya yang bakal muncul dengan single Kau Yang Satu, runut bunyi filem berjudul sama arahan Osman Ali.-Bharian

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.