Dipanah Petir, 22 Maut

Sekurang-kurangnya 22 terbunuh di Bangladesh akibat dipanah petir dalam tempoh 48 jam sejak Sabtu lalu, ketika negara itu dilanda hujan lebat dan kejadian tanah runtuh.

Menurut AFP, pengarah jabatan bencana negara itu, Reaz Ahmed berkata, antara yang maut ialah satu pasangan suami isteri dan anak remaja perempuan mereka ketika sedang bekerja di kebun kacang apabila dipanah petir.

Setiap tahun, ratusan orang terbunuh di Bangladesh akibat dipanah petir dan menurut pakar, perubahan cuaca memburukkan keadaan.

Selain itu, penebangan hutan menyebabkan kekurangan pokok tinggi, terutama pokok kelapa dan palma yang menjadi pengalir kilat, turut menyumbang kepada masalah itu, lapor Metro.

Tahun lalu, kerajaan mengisytiharkan bencana alam selepas kematian akibat dipanah petir melebihi 200 orang, dengan 80 terbunuh dalam masalah sehari pada Mei.

Sementara itu, pihak berkuasa yakin jumlah itu lebih tinggi kerana ada kematian yang tidak dilaporkan dengan satu pertubuhan bebas menyatakan jumlah korban ialah 349 orang pada 2016.

Kerajaan Bangladesh berusaha mencari jalan mengatasi masalah itu dan buat masa ini, menanam jutaan pokok palma.

Minggu lalu, lebih 160 terbunuh dalam kejadian banjir dan tanah runtuh akibat hujan lebat di selatan Bangladesh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.