7 Perogol Menangis Selepas Mahkamah Jatuhkan Hukuman Penjara dan Sebat


KOTA BHARU – Tujuh lelaki termasuk seorang remaja berusia 17 tahun menangis selepas dihukum penjara antara 18 hingga 22 tahun selain dikenakan enam hingga 16 sebatan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hukuman diputuskan selepas mereka didapati bersalah terhadap tuduhan merogol dua gadis berusia 17 dan 15 tahun secara beramai-ramai di Ketereh, di sini tiga tahun lalu.

Hakim Adli Ab Ghalib membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Muhmed Azroel Hassan, 26, Mohamad Faiz Azahan, 24, dan Che Azuan Che Hassan, 32, masing-masing dipenjara 22 tahun dan 16 sebatan manakala Eris Che Azmi, 21, dan Che Muhamad Farhan Isyrif Che Mat, 21, masing-masing dipenjara 22 tahun dan lapan sebatan.

Dua tertuduh lagi, Muhamad Adib Che Harun, 20, dan seorang remaja bawah umur berusia 17 tahun masing-masing dipenjara 18 tahun dan enam sebatan.

Mengikut pertuduhan, keenam-enam mereka didakwa merogol dua mangsa yang ketika itu berusia 17 dan 15 tahun dengan kehadiran orang lain di sebuah rumah kosong di Kampung Hutan Pasir, Ketereh, di sini, antara jam 7.30 dan 11 malam, 20 Mei 2014.

Muhmed Azroel, Mohamad Faiz dan Che Azuan didakwa merogol kedua-dua mangsa manakala Eris, Che Muhamad Farhan Isyrif dan remaja bawah umur itu didakwa merogol mangsa yang berusia 17 tahun.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(c) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Muhamad Adib didakwa merogol mangsa sama yang berusia 15 tahun di satu lagi lokasi lain di kampung sama antara jam 2 dan jam 3.30 pagi, 21 Mei 2014.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 376(1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan hendaklah dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Terdahulu, semua tertuduh yang diwakili peguam Zuhaidie Akmal Hasan Basri, Mohd Zubairi Salleh dan Nik Nazhriq Nik Nazman memohon hukuman ringan dengan mengambil kira kesalahan pertama dan tertuduh sudah insaf dengan kesalahan mereka.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira mangsa dirogol beramai-ramai tanpa belas kasihan oleh semua tertuduh.

“Perbuatan tertuduh yang mengambil kesempatan terhadap kenaifan mangsa, menyebabkan mereka mengalami trauma berpanjangan,” katanya

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang remaja berusia 15 tahun dan rakannya mendakwa menjadi mangsa rogol 38 lelaki dalam kejadian jam 7.30 malam pada 20 Mei 2014.

Sebelum kejadian, mangsa berusia 15 tahun itu dikatakan menerima panggilan telefon daripada rakan perempuan yang mendakwa berada di Ketereh dan meminta mangsa membantu membawanya pulang ke rumah.

Pelajar itu kemudian mendapatkan bantuan seorang rakan lelaki yang mempunyai motosikal untuk mengambilnya sebelum menjemput rakannya di Ketereh untuk dibawa ke lokasi kejadian. – HMetro


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.