Tiga Ditahan Dalam Ops Mabuk Di Melaka

MELAKA – Tiga lelaki ditahan selepas didapati memandu dalam keadaan mabuk dalam satu operasi Ops Mabuk/Lalu lintas di dua lokasi berasingan Jalan Parameswara dan Jalan Syed Abdul Aziz, di sini, awal pagi tadi.

 

Ketika ditahan, ketiga lelaki itu yang berusia 22 hingga 45 tahun mengaku mengambil minuman keras tetapi dalam kuantiti yang sedikit.

 

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah, berkata pemeriksaan melalui alat pengukur kadar alkohol mendapati ketiga lelaki itu melebihi jumlah dibenarkan iaitu 80 mg.

 

“Rata-rata mereka memiliki jumlah sebanyak 84 hingga 136 mg, iaitu melebihi tahap yang dibenarkan,” katanya ketika dihubungi, petang tadi.

 

Shaikh Abdul Adzis berkata, tiga lelaki itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan disiasat kerana memandu dalam keadaan mabuk.

 

Dalam operasi bersepadu bermula jam 12 tengah malam hingga 4 pagi itu, sebanyak 300 motosikal dan kereta diperiksa di Jalan Parameswara dan Jalan Syed Abdul Aziz, di sini.

 

Daripada jumlah kenderaan yang diperiksa, sebanyak 84 saman dikeluarkan kerana melakukan pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi.

 

Sementara itu, aksi seorang lelaki mabuk bergelut dengan sepasukan anggota polis kerana enggan dibawa ke balai polis turut mewarnai operasi Ops Mabuk/Lalu lintas.

 

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, lelaki yang memandu kenderaan mewah itu juga turut didapati sengaja melengah-lengahkan tempoh pemeriksaan polis sehingga 30 minit termasuk beberapa kali menggagalkan prosedur pemeriksaan alat pengukur kadar alkohol.

 

Berang dengan helah dan sikap tidak bekerjasama lelaki itu, polis kemudian bertindak pantas menggarinya sebelum dibawa ke IPD Melaka Tengah. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.