Rombongan Tak Jadi Membeli Belah

PASIR MAS – Hasrat sekumpulan rombongan dari Muar, Johor, membeli-belah di pekan Pengkalan Kubor terbantut apabila bas yang dinaiki bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Meranti-Tumpat, berhampiran Kampung Chat, Gelang Mas, di sini.

Bagaimanapun, 38 penumpang bas terbabit terselamat, namun pemandu kereta jenis Proton Iswara, Then Min Keong, 40, berasal dari Kulim, Kedah, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Kejadian jam 3 petang itu berlaku ketika rombongan berkenaan dalam perjalanan ke Pengkalan Kubor selepas membeli-belah di pekan Rantau Panjang.

Pemandu kedua bas terbabit, Halimin Suratman, 46, berkata, ketika kejadian dia sedang berbual dengan pemandu bas dan tiba-tiba melihat kereta dipandu mangsa memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan bas dinaiki mereka.

Menurutnya, dia bersyukur rombongan itu terselamat walaupun ada seorang kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.

“Sudah lima kali rombongan ini berkunjung ke Kelantan dan ini adalah laluan yang biasa kami gunakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Mohamed Adenan Said berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 3.05 petang.

Menurutnya, sebuah jentera dengan kekuatan lima anggota segera ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja menyelamat.

“Kami mengambil masa setengah jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk,” katanya.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

Menurutnya, polis akan menjalankan siasatan lanjut. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.