KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli mendesak agar kuasa Presiden PKR yang membenarkan ahli baharu bertanding dalam pilihan raya dan pemilihan parti dimansuhkan sepenuhnya.
Desakan berkenaan diutarakan calon Timbalan Presiden PKR itu bagi mengelakkan parti dibanjiri individu yang hanya mahukan jawatan.
Jelas beliau, tidak ada mana-mana individu termasuk daripada parti lain boleh diberikan pelepasan oleh Presiden parti jika keanggotaan PKR individu tersebut tidak mencapai sekurang-kurangnya lima tahun.
“Bunyinya agak kasar tetapi saya mahu suarakan hal yang cukup membimbangkan ini kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana selama ini ada kuasa yang diberikan kepada Presiden PKR.
“Yang mana jika anggota itu tidak cukup satu tahun keahliannya tetapi dengan kuasa Presiden, dia boleh bertanding. Saya minta batalkan pelepasan itu 100 peratus.
“Bagaimana seorang bekas Bendahari MIC, hanya selepas masuk parti enam bulan boleh bertanding pilihan raya di kawasan Parlimen selamat.
“Kemudian dilantik jadi Timbalan Menteri, dan tidak sampai dua tahun, kini bertanding jawatan Naib Presiden dalam pemilihan,” katanya semasa Jelajah Hiruk di Johor, lapor Sinar Harian.
Hadir sama, Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Nik Nazmi Nik Ahmad, Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru dan calon Ketua Wanita PKR, Rodziah Ismail yang juga Ahli Parlimen Ampang.
Menteri Ekonomi itu seterusnya menjelaskan golongan yang digelarnya sebagai ‘pelompat parti profesional’, yang bertukar-tukar kesetiaan mengikut arus kuasa semasa dengan menyasarkan jawatan tinggi sebaik sahaja menyertai parti.
Dakwanya, situasi itu menyebabkan PKR kini dibanjiri golongan oportunis yang mahu mendapatkan laba dan ganjaran politik terutama jawatan.
“Selepas ini, saya yakin tidak berada dalam barisan kepimpinan, saya nak sebut secara terbuka mengenai kumpulan yang menangguk di air keruh.
“Orang lain bersusah payah berjuang demi parti ketika susah, namun bila parti dalam keadaan senang dan menang, golongan ini muncul.
“Memang PKR parti derita tetapi ramai yang masuk tak derita. Jangan sesekali benarkan kumpulan yang begini mengambil alih parti kerana nampak gayanya ia akan jadi begitu,” ujarnya.