KUALA LUMPUR – Sebarang desakan atau tekanan bersifat politik sempit, terutamanya daripada parti yang tidak mempunyai jumlah kerusi signifikan seperti Amanah hanya akan mengganggu tumpuan kepada isu-isu rakyat yang jauh lebih penting, seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, dan kelestarian pembangunan negeri.
Ketua Penerangan Umno Johor Md Israk Abdullah menegaskan, Umno Johor ingin menegaskan bahawa fokus utama parti itu kekal kepada usaha menjayakan agenda Maju Johor, menjamin kestabilan politik, serta memastikan kemakmuran dinikmati oleh seluruh rakyat negeri ini.
Justeru katanya, sebarang cubaan untuk mengheret BN Johor ke dalam polemik politik berkaitan pembahagian kerusi atau pelantikan jawatan hanya mencetuskan kekusutan dan merugikan rakyat.
“Malangnya, Amanah Johor dilihat lebih gemar membangkitkan polemik politik berbanding menyumbang idea untuk pembangunan negeri. Sikap ini bukan sahaja tidak membantu, malah mencemarkan semangat kebersamaan yang amat diperlukan dalam menghadapi cabaran ekonomi dan geopolitik semasa.
“Sebagai seorang bekas Adun dan pemimpin kanan Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad seharusnya menunjukkan kematangan politik dan menjadikan kepentingan rakyat serta pembangunan negeri sebagai keutamaan, mengatasi segala pertimbangan peribadi.
“Ketika sidang Dewan Undangan Negeri Johor sedang berlangsung, Dzulkefly Ahmad sepatutnya membantu, menumpukan tenaga dan buah fikiran untuk memperkukuh dasar-dasar yang membawa kebaikan kepada rakyat Johor melalui satu-satunya wakil rakyat Amanah yang ada.
“Malangnya, pemimpin kanan Amanah Johor itu lebih memilih untuk mengalih fokus kepada soal pelantikan dan pembahagian kerusi yang tidak membantu langsung penyelesaian masalah rakyat,” tempelak Israk dalam kenyataan media pada Rabu.
Menurut Israk lagi, Umno Johor memandang serius kenyataan Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad yang secara terbuka mendesak Barisan Nasional (BN) menyatakan pendirian berhubung kerjasama dalam Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN-16).
Tegasnya, tindakan seperti ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah mencerminkan sikap tidak matang dan kegagalan memahami realiti politik serta keutamaan rakyat ketika ini.
“Umno Johor menghargai kerjasama di peringkat Persekutuan menerusi Kerajaan Perpaduan. Namun, adalah penting untuk difahami bahawa setiap parti mempunyai hak untuk merancang strategi politik berdasarkan mandat rakyat dan realiti semasa.
“Umno Johor ingin menegaskan bahawa kerajaan negeri hari ini terbentuk hasil daripada mandat jelas yang diberikan oleh rakyat Johor melalui PRN Johor 2022, di mana BN telah memperoleh 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri. Ini merupakan kemenangan mutlak dan sah dalam kerangka demokrasi.
“UMNO Johor berpandangan, sekiranya Amanah lebih cenderung bermain politik daripada berganding bahu membangunkan negeri, maka biarlah rakyat sendiri menilai siapa yang benar-benar matang dan bertanggungjawab.
“Nasihat kami kepada Amanah Johor: kembalilah kepada asas perjuangan. Letakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan, bukan sekadar mencipta persepsi atau meraih keuntungan politik sementara. Hentikan politik polemik. Marilah kita semua fokus bekerja demi kesejahteraan rakyat Johor,” seru beliau.