Raja Permaisuri Perak Sampaikan Sumbangan Kepada Golongan Kurang Berkemampuan

TANJUNG MALIM – Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim hari ini berkenan menyampaikan sumbangan daripada Kelab Wanita Perak, Wilayah Persekutuan dan Selangor kepada 80 penerima golongan tidak berkemampuan di daerah Muallim.

Turut mengiringi baginda ialah penaung kelab, Raja Datuk Seri Azureen Sultan Azlan Shah serta presiden kelab Datuk Siti Hendon Chik dan Yang Dipertua Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (Baiduri), Datin Seri Saripah Zulkifli, yang juga isteri Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir.

Terdahulu, Siti Hendon dalam ucapannya berkata RM30,000 disumbangkan kelab berkenaan kepada golongan yang tidak berkemampuan terdiri daripada pelbagai kaum di sekitar daerah tersebut.

“Program ini merupakan aktiviti tahunan kelab ini yang ditubuhkan 17 tahun lepas yang mana objektif kelab ini adalah untuk mengumpul dana bagi membantu masyarakat di Perak, Kuala Lumpur serta Selangor setiap tahun,” katanya pada majlis yang diadakan di Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang di sini.

Beliau berkata setiap penerima menerima sumbangan wang tunai daripada kelab berkenaan selain pemberian peribadi berupa wang tunai daripada orang perseorangan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.