“Dengan adanya pameran dan perkhidmatan seperti ini, pencari pekerjaan tidak perlu lagi untuk keluar atau berhijrah meninggalkan kampung halaman masing-masing hanya semata-mata untuk mendapatkan pekerjaan kerana di tempat mereka sendiri terdapat banyak peluang pekerjaan,” katanya ketika ditemui dalam Program Job Fair @ UTC Kuala Lumpur 2.0 2017 di UTC Pudu Sentral, di sini hari ini.

Program sehari ini dikunjungi hampir 3,000 pengunjung yang menawarkan hampir 2,500 pekerjaan oleh 50 majikan yang mengambil bahagian.

Acara turut diserikan dengan kehadiran selebriti Helmi The Gimmic dan pelbagai acara menarik termasuk cabutan nombor bertuah.

Aminuddin berkata, berikutan sambutan menggalakkan daripada orang ramai, JTK akan mengadakan program Jom Fair ini sebagai acara dwitahunan yang bakal menawarkan lebih banyak pekerjaan.

“Tahun lepas ketika pertama kali diadakan, ia mendapat sambutan dengan kehadiran lebih 5,000 pengunjung di UTC Pudu Sentral dan berjaya mendaftarkan seramai 3,000 pencari pekerjaan dan 1,500 daripada mereka beroleh pekerjaan di situ.

“Melihatkan sambutan yang hangat hari ini, kita bercadang mengadakan Job Fair 3.0 pada September akan datang di semua UTC seluruh negara,” katanya.

Menurutnya, Job Fair bukan hanya memberi peluang pekerjaan kepada mereka yang baharu hendak memasuki pasaran kerja tetapi terdapat pelbagai tawaran kursus kemahiran dan keusahawanan bagi meningkatkan kerjaya untuk menambahkan pendapatan.

“Lebih menarik, Job Fair ini turut menjadi pemudah cara kepada golongan pesara, orang kurang upaya (OKU), suri rumah dan gelandangan untuk mencari pekerjaan yang mana kebanyakan agensi dan jabatan kerajaan turut kami panggil untuk menyertai pa­me­ran ini,” katanya.

Sementara itu, pasangan adik beradik, B. Sharmitha, 22, dan B. Sharmini, 20, dari Setapak, gembira kerana mudah beroleh pekerjaan melalui Job Fair ini.

“Walaupun ditawarkan pekerjaan sebagai konsultan kewangan oleh sebuah syarikat iaitu berbeza dengan kelulusan yang saya miliki iaitu pengurusan perhotelan, namun saya dan adik gembira kerana akhirnya beroleh pekerjaan.

“Kami tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan jawapan, sebaik sahaja kami mengunjungi pameran ini, kami terus ditawarkan pekerjaan,” kata Sharmitha