Video : Kursus Bekam Dan Akupuntur Dibiayai Bagi Membantu Warga Felda

Oleh : Wan Nasrah Abdul Rahim

 

JEMPOL – Felda bakal biayai keseluruhan kursus rawatan bekam al hijamah dan akupuntur bagi membantu warga Felda untuk memulakan langkah sebagai usahawan.

 

Timbalan Pengarah Besar Pembangunan Felda, Anuar Malek berkata, pihaknya mahu warga Felda menembusi pasaran keperluan bekam warganya, disamping dapat menjalani kehidupan sihat.

 

 

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah kursus seperti ini (bekam) dianjurkan oleh Felda. Jadi orang tertanya-tanya. Kita sedar bahawa sistem dan kaedah ini adalah untuk menyihatkan warga Felda untuk jadi orang-orang yang sihat.

 

“Jadi saya berharap bukan darah kotor sahaja yang dikeluarkan tetapi dapat juga mengeluarkan pemikiran yang kotor yang tidak bersama dengan kita dapat dikeluarkan,” katanya di Dewan Feldajaya Raja Elias, di sini tengahari tadi.

 

Beliau berkata, kaedah bekam sangat bersesuaian untuk membahagiakan warga Felda di Wilayah Raja Elias disamping dapat menyihatkan warganya.

 

“Warga Felda (peserta) mampu menembusi pasaran keperluan bekam kepada warga Felda keseluruhannya supaya kita mendapat kehidupan yang sihat sampai bila-bila.

 

“Jadi kerana itulah saya dan pengurusan tertinggi Felda berharap seluruh warga Felda ini hidup dalam keadaan sihat sejahtera disamping memenuhi keperluan keluarga agar kita berbahagia hidup dalam keluarga yang besar dalam keadaan sihat dan juga dapat memberikan sumbangan pemikiran demi kejayaan ini,”katanya.

 

Tambahnya, pihaknya juga tidak mahu Felda hanya dilihat sebagai satu organisasi yang tidak menjaga kepentingan Felda.

 

 

Sementara itu, ditanya berapa ramai penyertaan yang dibiayai pihaknya, beliau berkata ia melibatkan seramai 100 orang penyertaan yang melibatkan warga itu bagi setiap wilayah yang terlibat.

 

“Matlamatnya tidak kurang daripada 100 orang di setiap wilayah kita akan bantu dan menjadikannya sekurang-kurangnya 1100 warga Felda yang akan terlibat dalam kursus tersebut.

 

“Saya percaya ia bukan sahaja dapat meningkatkan kejayaan kepada program ini, tetapi ia bagi meningkatkan pembangunan usahawan bagi warga Felda,”katanya.

 

Menurutnya lagi, beliau berharap setiap warga Felda yang terlibat dalam kursus tersebut bukan sahaja mempunyai hasrat untuk menjana pendapatan tetapi menunjukkan sikap kebersamaan dan kasih sayang yang menebal dalam membantu warga Felda selain mampu menjalani kehidupan yang lebih sihat.-SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.